Peta kawasan Pilihan Raya Kecil pada sidang media PRK Parlimen P.176 Kimanis di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 DISEMBER 2019

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah P176 pada 18 Januari 2020.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun sebentar tadi berkata,  penamaan calon telah ditetapkan pada 4 Januari (Sabtu) manakala tarikh mengundi awal ialah pada 14 Januari (Selasa).

“Tempoh berkempen selama 14 hari bermula selepas penamaan calon dan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 17 Januari 2019.

“Tarikh buka dan tutup permohonan undi pos pengundi dalam dan luar negara adalah 16 Disember 2019 dan ditutup pada 2 Januari 2020.

“Anggaran kos bagi menjalankan PRK ini adalah RM 3.6 juta,” katanya dalam sidang media di Menara SPR, Putrajaya, hari ini.

PRK Kimanis merupakan yang ke-10 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pada PRU-14, Datuk Seri Anifah yang merupakan bekas Menteri Luar memenangi kerusi Parlimen Kimanis dengan majoriti tipis 156 undi.

Datuk Azhar Azizan Harun bercakap pada sidang media PRK Parlimen P.176 Kimanis di Menara SPR, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 16 DISEMBER 2019

Isnin lepas, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof memaklumkan berlaku kekosongan kerusi Parlimen Kimanis bermula 10 Disember lalu berikutan penerimaan perakuan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan keputusan pilihan raya umum bagi parlimen itu yang disandang Anifah pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal.

Sebelum ini pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Anifah bagi kerusi Parlimen Kimanis pada PRU-14 lalu.
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan Anifah pada PRU-14 kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen pilihan raya raya dikemukakan bekas calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.
Hakim Lee Heng Cheong yang membuat keputusan itu selepas mendapati terdapat kesilapan pada semua kotak undi yang mempunyai unsur manipulasi, termasuk kertas undi tambahan yang melanggar undang-undang pemilihan.
UMNO Sabah pada Jumaat lepas pula mengesahkan akan meletakkan calon dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang bakal diadakan nanti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa nama dan akan diumumkan sebelum penamaan calon PRK berkenaan.
Menurut SPR, daftar pemilih pilihan raya yang telah dikemaskini menunjukkan seramai 29,664 pengundi secara keseluruhan bagi kawasan ini.
Seperti kebiasaan, SPR juga telah menyasarkan 70 peratus akan mengundi pada PRK Kimanis nanti. – MalaysiaGazette

– MalaysiaGazette