Bekas Menteri Luar yang juga Ahli Parlimen Barisan Nasional, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar UMNO.
Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anifah Aman mahu menyaman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mengendalikan Pilihan Raya Parlimen Kimanis pada 9 Mei tahun lalu undang-undang dan peraturan pilihan raya.

Ia termasuklah kecuaian dalam mempertahankan tuduhan-tuduhan dalam petisyen pilihan raya Kimanis.

Pegawai Khasnya, Datuk James Ligunjang berkata, Anifah kini sedang menimbang pilihan yang akan diambil selepas kemenangannya di Kimanis dibatalkan.

Tindakan itu termasuk membuat permohonan semakan kepada Mahkamah Perseketuan agar keputusan yang diputuskan pada 2 Disember lalu diketepikan.

Pada 2 Disember lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya, yang menolak kemenangan Datuk Seri Anifah Aman bagi kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara menolak rayuan Anifah selepas mendapati Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam membuat penemuan fakta.

Tengku Maimun dalam penghakimannya berkata, Hakim Mahkamah Pilihan Raya tidak terkhilaf apabila mendapati terdapat banyak percanggahan dan tindakan yang tidak mematuhi undang-undang pilihan raya, yang akhirnya memberi kesan kepada hasil keputusan pilihan raya.

Mahkamah turut mengarahkan Anifah selaku perayu untuk membayar kos berjumlah RM70,000 kepada pihak yang mengemukakan petisyen (Datuk Karim Bujang). – MalaysiaGazette