KUALA LUMPUR – Telekom Malaysia Berhad (TM) diiktiraf sebagai pemenang bagi Laporan Tahunan Terbaik (Perak) di Majlis Anugerah Laporan Tahunan Korporat Nasional – NACRA 2019.

Syarikat sekali lagi dianugerahkan sebagai sebuah institusi korporat terkemuka di Malaysia apabila laporan tahunannya bagi tahun 2018 telah berjaya merangkul empat anugerah kecemerlangan di dalam kategori-kategori utama.

Anugerah-anugerah yang dimenangi adalah Anugerah Kecemerlangan Keseluruhan Laporan Tahunan Terbaik (Perak)
Laporan Tahunan Terbaik dalam Bahasa Malaysia (Emas), Laporan Kelestarian Tahunan Terbaik (Perak), Anugerah Kecemerlangan Industri bagi Syarikat Papan Utama dalam kategori Telekomunikasi dan Media selama 23 tahun berturut-turut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Noor Kamarul Anuar Nuruddin berkata, pengiktirafan-pengiktirafan ini
bukan sahaja membuktikan kepatuhan syarikat terhadap keperluan senaraian seperti digariskan oleh Bursa Malaysia, namun apa yang lebih penting, pengiktirafan ini menjadi bukti kepada standard tinggi dalam komunikasi dengan para pemegang saham.

Ianya juga menunjukkan komitmen kami dalam pengamalan tadbir urus korporat, ketelusan, pendedahan maklumat yang tinggi kepada pihak berkepentingan serta pelaporan korporat bersepadu.

NACRA dianjurkan bersama oleh Bursa Malaysia Berhad, Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) dengan objektif untuk mempromosikan kecemerlangan dalam laporan korporat, ketelusan dan kebertanggungjawaban terbaik oleh setiap pihak dalam laporan kewangan dan anugerah-anugerah tersebut untuk memberi penghargaan dan mengiktiraf laporan yang berkualiti tinggi. – MalaysiaGazette