KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia hari ini melebarkan pola perniagaannya dengan menawarkan pakej gaya hidup yang dikenali sebagai AirAsia Deals.
Menerusi pakej itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com, Karen Chan, para pelanggan boleh menikmati lebih 80 tawaran produk yang terdiri daripada makanan dan minuman (F&B), kecantikan dan perkhidmatan melalui geo-lokasi bagi pas 90 hari pada hanya RM20 atau dengan hanya 2,500 mata ganjaran BIG.
“Bermula dengan syarikat penerbangan AirAsia mahu terus kembangkan platform perniagaan kami. Kalau dulu hanya menawarkan tiket tambang murah dengan tagline Everyone Can Fly tapi sekarang bukan sahaja semua orang boleh terbang bahkan semua orang boleh membeli,” katanya ketika majlis pelancaran Air Asia Deals yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group Tan Sri Tony Fernandes di sini hari ini.
Dalam pada itu, Tony pula berkata, Air Asia Deals terhasil daripada respon yang sungguh memberangsangkan menerusi tawaran hotel dalam website penerbangan itu.
Selain Kuala Lumpur, Air Asia menyasarkan untuk meluaskan pakej berkenaan ke seluruh negara termasuklah luar negara seperti Singapura, Thailand dan banyak lagi.
Sempena pelancaran ini, airasia.com menawarkan promosi pakej terbaharu ini selama 24 jam dengan hanya serendah harga RM1 pada 18 Disember 2019.-MalaysiaGazette
















