Lelaki warga Bangladesh yang menimbulkan kekecohan apabila memanjat tiang papan tanda di Jalan Bukit Bintang, tengahari tadi. Foto ihsan: Bomba

KUALA LUMPUR – Kecoh apabila seorang lelaki warga Bangladesh dipercayai mengalami masalah mental membunuh diri dengan memanjat tiang papan tanda jalan.

Kejadian berlaku di hadapan sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang, di sini pukul 1.15 petang hari ini dan akhirnya lelaki diselamatkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah Isyarurin Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan pukul 1.17 petang.

Katanya, dua buah jentera serta sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 12 anggota dikejarkan ke lokasi bagi menurunkan lelaki warga asing itu.

Menurutnya, sebaik tiba pasukan penyelamat mendapati lelaki terbabit yang hanya memakai seluar berada di tiang dipercayai cuba membunuh diri.

“Sebaik dihampiri, lelaki itu dilihat meracau dalam bahasa yang tidak difahami kemungkinan bahasa asal negaranya.

“Bomba terpaksa memujuknya hampir satu jam sebelum dia diselamatkan serta dibawa turun,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian diserah kepada polis untuk tindakan lanjut. – MalaysiaGazette