Bangunan Dong Jiao Zong, Kajang, Selangor.

KUALA LUMPUR – Kumpulan pendidikan Cina, Dong Jiao Zong diminta agar tidak menganjurkan perhimpunan membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular pada 28 Disember ini.

Ketua Penaja, Pergerakan Wira Putra Malaysia, Nasrul Ali Hassan Abdul Latif berkata, himpunan yang bakal dianjurkan itu dilihat sebagai satu himpunan rasis dan tidak berperlembagaan.

Malah katanya, walaupun ianya dirancang untuk diadakan secara aman, demi keharmonian dan kesepaduan anak cucu cicit seluruh bangsa di Malaysia, ia wajar dihentikan.

Beliau berkata, langkah itu penting supaya api perkauman yang akan mengganggu gugat negara ini tidak berterusan disebabkan perilaku kumpulan tertentu yang cuba mengapi-apikan rakyat untuk menentang sistem kerajaan secara halus.

“Pertubuhan yang memperjuangkan pendidikan sekolah vernakular ini sepatutnya lebih terbuka dan menerima silibus pendidikan yang merupakan warisan asal Tanah Melayu ini.

“Ia merupakan satu warisan negara yang perlu diangkat dan diajarkan supaya semua rakyat Malaysia khususnya generasi baharu agar mempunyai rasa kebersamaan dan mengenali warisan negara yang mereka diami bermula dari sekolah rendah lagi,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Nasrul Ali mendakwa, kumpulan terbabit sentiasa ingin kerajaan mengikut telunjuk mereka untuk memperoleh kesamarataan sedangkan mereka langsung tidak mengendahkan kebersamaan dan pengenalan warisan Tanah Melayu.

Ujarnya, mereka juga mahu rakyat negara ini mengiktiraf keberadaan sekolah vernakular sama seperti sekolah kebangsaan, tetapi mereka secara jelas menolak setiap usaha yang ingin menyatukan perpaduan rakyat melalui satu sistem pendidikan yang menyeluruh sejak dahulu lagi.

“Wira Putra juga berharap agar pihak polis dan pihak berkuasa sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan dalam perhimpunan tersebut.

“Penganjur boleh diibaratkan ibarat api dalam sekam. Agenda dan niat mereka pastinya tidak seperti yang digembar-gemburkan dan sedikit sebanyak membawa maksud menghasut bagi memerangi sistem dan keputusan yang baik dibuat kerajaan,” tegas beliau.

BACA: Dong Jiao Zong anjur persidangan pertubuhan Cina bantah tulisan Jawi

Semalam, Dong Jiao Zong dalam satu kenyataan menyeru sesiapa yang mahu menyertai himpunan pertubuhan membantah tulisan Jawi di sekolah vernakular agar tidak membawa sebarang plakad, sepanduk atau risalah.

Menurut Dong Jiao Zong, himpunan yang ingin diadakan itu bertujuan untuk mempertahankan “kedaulatan” lembaga pengelola sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil, serta isu berkaitan pengenalan tulisan Jawi.

Oleh kerana kesuntukan masa, mereka membuat seruan melalui media agar semua pertubuhan Cina yang berdaftar menghadiri himpunan tersebut, ujar kenyataan berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.