Adnan Mat
Adnan Mat

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) melahirkan rasa bimbang terhadap kehadiran Revolusi Industri 4.0 yang didakwa bakal menyekat peluang pekerjaan di sektor awam yang masih bergantung kepada tenaga guna manusia semata-mata.

Presiden baharunya, Adnan Mat menegaskan, lebih membimbangkan apabila ia boleh mengancam perjawatan sedia ada khususnya yang berjawatan rendah termasuk pembantu tadbir.

“Bila berlaku RI4.0, ia menyebabkan perkhidmatan-perkhidmatan tertentu tidak lagi menggunakan manual ataupun anggota. Cabarannya jawatan-jawatan ini tidak diisi, apabila ia tidak diisi, ada kekurangan jawatan berikutan kerana penggunaan jentera.

“Keadaan ini boleh menyebabkan peluang pekerjaan itu semakin kecil dan kurang. Jadi bagaimana kedudukan generasi baru ataupun orang awam atau rakyat di luar sana untuk mendapatkan pekerjaan di sektor awam,” katanya kepada pemberita selepas Konvensyen Kongres Tritahunan Cuepacs ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Timbalan Menteri Undang-undang, Mohamed Hanipa Maidin mendedahkan Putrajaya merancang mengurangkan perjawatan awam sebanyak lima peratus sehingga 2021.

Setakat suku ketiga 2019, jumlah keseluruhan perjawatan perkhidmatan awam seramai 1.7 juta dengan peratus pengisian sebanyak 91.26 peratus.

Ia bersamaan dengan 1.57 juta orang merangkumi perkhidmatan awam persekutuan, badan berkanun persekutuan, perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Dalam pada itu, Adnan juga tidak menolak kehadiran IR4.0 turut menyebabkan tiada lagi peluang pekerjaaan baharu kepada golongan muda masa akan datang.

“Cabaran pada kami, kami telah berada dalam sistem, cuma generasi akan datang, mereka belum ada dalam sistem, tiba-tiba benda itu telah tidak ada.

“Bagaimana mereka nak memasuki sistem ini, bagaimana peluang pekerjaan yang semakin mengecil dalam sektor kerajaan ini.

“Maknanya kita kena lihat perkara-perkara lain di luar sana untuk kita membantu rakyat dari segi sektor pekerjaan,” katanya.

Sementara itu, Adnan turut menyangkal dakwaan bahawa CUEPACS tidak sehaluan dengan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) susulan wujud segelintir penjawat awam yang enggan menjalankan dasar kerajaan hari ini.

“Kita dengan kerajaan hari ini tiada masalah, siapa saja kerajaan, itulah kerajaan kami, kami tiada masalah dari segi itu.

“Apabila kami melaksanakan dasar kerajaan, dia merasakan ini dasar yang terdahulu walhal inilah dasar terpakai selagi dia tidak berubah, inilah dasarnya

“Sebagai penjawat awam, kami komited dengan apa saja dasar yang telahpun dibuat oleh kerajaan kerana inilah tugas kami dan inilah kerajaan kami dan kami adalah pekerja kepada kerajaan yang ada hari ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette