FGV

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 19 Mac depan untuk mendengar permohonan lima bekas pengarah bukan eksekutif FGV Holdings Berhad (FGV) bagi menggantung prosiding saman yang difailkan oleh syarikat itu terhadap mereka.

Peguam Fahda Nur Ahmad Kamar yang mewakili kelima-lima individu itu memberitahu pemberita, tarikh tersebut ditetapkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Quay Chew Soon di dalam kamarnya hari ini.

“Pihak kami memohon penggantungan prosiding saman ini sementara menunggu rayuan kami terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 8 Nov lepas yang membatalkan tuntutan balas kami terhadap FGV serta 10 pihak lain,” katanya yang turut dibantu peguam Amanina Yusrina Ahmad Kamal.

Lima individu itu adalah Tan Sri Ismee Ismail, Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Pada 8 Nov lepas, Hakim Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan FGV dan 10 pihak tersebut untuk membatalkan tuntutan balas yang difailkan lima individu berkenaan terhadap mereka berhubung dakwaan kerugian dialami membabitkan pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada 2014.

Kelima-lima bekas pengarah berkenaan sebelum ini disaman oleh FGV yang menuntut RM514 juta berhubung dakwaan kerugian yang timbul daripada pengambilalihan atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan daripada pengambilalihan APL dan mereka kemudiannya memfailkan tuntutan balas terhadap saman itu.

Lima individu itu selaku plaintif memfailkan tuntutan balas pada 11 Feb lepas dengan menamakan syarikat terbabit dan 10 yang lain terdiri daripada pengerusi serta pengarah bukan bebas dan bukan eksekutif FGV selaku defendan.

Sepuluh individu itu ialah Datuk Azhar Abdul Hamid, Mohd Hassan Ahmad, Datuk Dr Othman Omar, Dr Mohamed Nazeeb P. Alithambi, Datuk Dr Salmiah Ahmad, Datin Hoi Lai Peng, Datuk Yusli Mohamed Yusoff, Dr Nesadurai Kalanithi, Datuk Mohd Anwar Yahya dan Datuk Mohamed Suffian Awang.

Pada 23 Nov 2018, FGV memfailkan saman menuntut RM514 juta dan ganti rugi lain terhadap bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah dan 13 yang lain berhubung pemerolehan APL pada 2014.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, individu lain yang dinamakan sebagai defendan ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Pengerusi FGV pada masa itu; bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran Farisan Mokhtar; dan bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran Rasydan Alias Mohamed.

Sembilan yang lain ialah bekas pengarah bukan eksekutif FGV iaitu Ismee, Wan Abdul Aziz, Tan Sri Sulaiman Mahbob, Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd, Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar, Datuk Faizoull Ahmad, Nozirah dan Fazlur Rahman.

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada 2014.

— BERNAMA