Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 19 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa kesal tidak berkesudahan dengan keadaan yang terpaksa dilalui oleh negara Islam pada masa kini dengan rata-rata menganggap perjuangan mereka itu bersamaan dengan pengganas serta keganasan.

Malah Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur itu meluahkan rasa bimbangnya tentang bagaimana walaupun memiliki kekayaan cukup besar namun negara-negara Islam ini masih dianggap tidak maju serta lemah oleh Barat.

“Kita sebenarnya terpaksa mengakui bahawa kita dan agama kita sudah menjadi satu subjek yang tidak lebih daripada fitnah dan menjengkelkan. Kita acapkali disamakan dengan keganasan, pengganas, kegagalan kerajaan mentadbir negara.

“Negara Islam juga dilabel sebagai tidak rasional, tingkah laku tidak beradab bertamadun malah juga dituduh melanggar hak asasi kemanusian.

“Malah walaupun kita mempunyai kekayaan tinggi namun tidak pula dianggap sebagai negara maju. Kita juga seringkali bergantung dengan negara bukan Islam bagi melindungi kita.

“Kita melarikan diri dari sesama sendiri, bergantung kepada bukan Islam walaupun dalam Al-Quran sudah tercatit sepatutnya kita melindungi ummah sendiri. Kita banyak harapkan negara bukan Islam untuk pertahankan kita.

“Dulu kita amat dihormati, ketika abad ke-15 tamadun Islam adalah antara yang teragung. Kita maju dalam pelbagai bidang khasnya sains, kejuruteraan dan banyak lagi.

“Kita sangat dihormati dunia tetapi kini sumber pengetahuan serta kekuataan kita telah dikuasai oleh kuasa-kuasa Eropah,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 518 delegasi antarabangsa dari 57 buah negara pada majlis pelancaran persidangan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Antara pemimpin penting yang hadir termasuklah Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, Presiden Iran, Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.

Sambil memberikan contoh bagaimana kini ianya sudah berubah apatah lagi cogankata seperti ‘Islamphobia’ yang digunakan untuk terus menakutkan umum dengan agama Islam ini.

“Islamphobia ini bukan ketakutan sebaliknya telah merendah-rendahkan agama kita di mata dunia tetapi pada masa sama adakah kita terfikir adakah ini benar atau hanya sekadar propaganda oleh para penentang kita atau kedua-duanya?

“Kita telah melihat sendiri bagaimana negara-negara yang dimusnahkan oleh Perang Dunia Kedua bukan hanya dapat pulih dalam masa yang singkat, tetapi dapat berkembang dengan pesat untuk menjadi sebuah negara maju.

“Ada juga beberapa negara Islam lain pula dilihat gagal ditadbir urus dengan baik, apa lagi untuk menjadi sebuah negara yang maju dan sejahtera.

“Persoalan kita adakah kita sendiri menjadi penghalang kepada agama kita sendiri? Adakah Islam menentang kejayaan duniawi dan menjadi sebuah negara maju Atau umat Islam sendiri menghalang negara mereka daripada diuruskan dengan baik daripada menjadi sebuah negara?

“Kita mungkin mendakwa melakukan jihad tetapi hasilnya adalah lebih banyak penindasan terhadap umat Islam di merata tempat,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tun Mahathir berharap persidangan ini dapat dimanfaatkan bagi perbincangan mengenai hal ehwal ummah.

Kata Tun Mahathir atas alasan-asalan inilah sidang kemuncak ini dianjurkan, dan setidak-tidaknya para peserta mungkin akan dapat mengenal pasti di mana silapnya, menerusi perbincangan pada sesi sidang ini.

“Islam, kaum Muslim dan negara mereka berada dalam krisis, tidak berdaya, tidak layak bagi agama agung ini yang dimaksudkan untuk menjadi yang terbaik bagi umat manusia,” katanya. –MalaysiaGazette