Mauricio Pochettino

LONDON – Tindakan memecat Mauricio Pochettino merupakan satu langkah paling sukar namun terpaksa dilakukan.

Ia demi menjaga kredibiliti pasukan, kata Pengerusi Tottenham Daniel Levy.

Katanya, meskipun keputusan tersebut terpaksa dibuat tetapi beliau masih membuka pintu buat pengendali kelahiran Argentina itu kembali menyertai mereka selepas ini.

Levy memecat Pochettino pada November susulan permulaan musim yang suram, kurang enam bulan selepas dia membawa Spurs ke final Liga Juara-Juara.

Apabila ditanya sama ada ia rombakan pengurusan paling sukar dilakukan, Levy memberitahu; “Anda perlu memahaminya bahawa saya membentuk hubungan secara peribadi dengan Mauricio selama lebih lima tahun setengah.

“Ia bukan sesuatu yang saya mahukan. Secara peribadinya, ia amat sukar, saya memberitahu beliau perkara itu dan beliau faham.

“Dia sudah lama dalam bola sepak, dia memahaminya. Ia bukan peribadi dan saya pasti dia akan kembali lebih kuat dan mempunyai peluang mengendali kelab hebat lain”.

Ditanya sama ada Pochettino boleh kembali ke kelab itu pada masa depan, Levy berkata; “Mengapa tidak? Saya tidak pernah menutup pintu kepada sesiapa pun”.

Tatkala Arsenal dan Everton mengambil masa untuk mencari pengurus baru, Levy terus mengalih tumpuan kepada Jose Mourinho dalam tempoh kurang daripada 12 jam.

Pengendali dari Portugal itu berjaya mengubah nasib kelab, melonjakkan mereka hampir tiga mata menghampiri Chelsea di tangga keempat, lawan mereka awal pagi Isnin. – MalaysiaGazette