Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Tiada satu pun agama di dunia ini yang boleh menerima iklan yang mempromosi hubungan seks dalam apa juga platform secara terbuka.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menegaskan, Sugarbook antara platform yang boleh menghancurkan masyarakat dan budaya tanpa mengira bangsa atau agama.

“Pengasas aplikasi Sugarbook berkata, seks satu pilihan bukan paksaan.

“Heh. Ini negara Malaysia, majoritinya orang Islam. Tidak ada agama yang suka iklan seperti ini.

“Ke mana mereka hendak bawa rakyat negara ini. Aplikasi yang akan menghancurkan masyarakat dan budaya tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya dalam hantaran terbaru di Facebook miliknya hari ini.

Rabu lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengarahkan struktur papan iklan luar LED Sugarbook di Bangsar dan Bukit Kiara ditarik serta- merta.

Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan, paparan iklan tersebut tidak mendapat kebenaran daripada pihak DBKL mahupun Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP).

Menurutnya kenyataan itu lagi, pihak pengendali telah dimaklumkan kandungan iklan itu bersifat sensitif dan melanggar norma masyarakat Malaysia.

Dalam pada itu, Idris juga memberi amaran agar tidak memaparkan iklan yang mempromosikan gelaja pelacuran di negara ini.

“Jangan undang bala. Gejala pelacuran yang ada sekarang sudah merupakan musibah. Jangan cuba memudahkan lagi kegiatan yang merosakkan tamadun sebuah negara. Orang yang suka iklan seperti ini sah kepala masuk air.

“Pihak berkuasa mesti haramkan aplikasi ini daripada bertapak ke Malaysia. Mesti tegas jangan banyak takwil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette