KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandang serius isu penggantungan Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) oleh pihak Pendaftar Pertubuhan atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) baru-baru ini.

Dalam kenyataan media di Putrajaya hari ini, kementerian menyatakan kesediaannya untuk membantu dan bekerjasama dengan MTUC dalam menyelesaikan kemelut berkenaan.

“KSM bersedia membantu dan bekerjasama dengan MTUC dalam menyelesaikan kemelut mereka dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pendaftar Pertubuhan terutamanya dalam melindungi hak dan kepentingan setengah juta pekerja yang dianggarkan diwakili oleh kesatuan sekerja tersebut.

“MTUC dikatakan mewakili setengah juta pekerja di Malaysia dan ini menjadi kebimbangan yang besar apabila perkara ini ( penggantungan) berlaku,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Tambah kementerian lagi, MTUC sebagai badan payung utama bagi kesatuan sekerja di Malaysia mempunyai peranan utama dalam sejarah kesatuan sekerja yang menjaga hak dan kebajikan pekerja-pekerja sebagai pembela nasib pekerja di Malaysia.

“Sebarang keputusan penggantungan MTUC yang berpanjangan akan memberi kesan kepada pekerja yang bergantung kepada badan ini sebagai pembela utama MTUC selama ini dalam banyak perkara yang berkaitan hak dan kebajikan mereka.

“KSM sebagai peneraju utama dalam urusan sumber manusia sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan sebarang bantuan kepada MTUC sekiranya diminta bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan isu ini bersama RoS atau KDN,” tegas pihak itu lagi.-MalaysiaGazette