Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap semasa sidang media pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 21 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR- Penceramah bebas, Dr. Zakir Naik telah diarahkan untuk tidak membuat sebarang kenyataan provokasi yang menyentuh mengenai sentimen perkauman di negara ini, kata Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun katanya, banyak pihak lain pula yang mengeluarkan pelbagai kenyataan berbaur perkauman sehingga menyentuh sensitiviti kaum yang lain.

“Benar, beliau (Zakir) berada di sini.“(Tetapi) kita juga berhadapan dengan banyak kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang dibuat oleh orang lain sehingga kami terpaksa meminta orang tersebut jangan membuat sebarang kenyataan mengenai kaum lain di Malaysia.

“Kami tidak mahu sebarang provokasi kerana kita perlu menghormati sensitiviti setiap kaum,” katanya semasa sidang media sempena berakhirnya Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 di sini hari ini.

Mahathir diminta mengulas mengenai permintaan terbaharu Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahukan status penduduk tetap yang diberikan kepada penceramah warganegara India itu dilucutkan.

Perdana Menteri turut berpegang kepada pendirian beliau mengenai nasib penganut agama Islam di India yang ditindas oleh kerajaan negara tersebut.

Katanya, India adalah sebuah negara sekular yang menerima semua agama pada asalnya tetapi mengapa sekarang mereka menindas rakyat mereka yang beragama Islam.

Tambahnya, Malaysia mempunyai pengalaman dengan menerima kaum lain ke negara ini ketika pemerintahan British dahulu dan mereka diberikan taraf kewarganegaraan.

Kini, kaum tersebut telah berjaya dan ada di antaranya telah berada dalam kerajaan.- MalaysiaGazette