Banjir di kawasan penempaan di Trofa, Porto, Portugal akibat taufan Elsa yang melanda negara itu. foto Agensi

MADRID – Dua ribut kuat yang melanda Sepanyol dan Portugal sejak tiga hari lalu telah membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan menyebabkan banjir dan kerosakan yang besar.

Di wilayah selatan Andalusia, seorang jurucakap bagi perkhidmatan kecemasan berkata, mereka berjaya menemui mayat mayat seorang peluncur angin di wilayah Huelva dan mayat kedua di Granada.

Di Madrid, seorang wanita meninggal dunia pada hari Sabtu selepas cedera apabila batu yang dibawa angin kencang jatuh di pusat bandaraya dalam kejadian yang berlaku Jumaat lalu.

Taufan Fabien dijangka melanda rantau ini pada hari Sabtu, membawa angin kencang dan hujan lebat ke rantau ini, seperti taufan Elsa, yang melanda semenanjung Iberia pada hari Rabu lalu tetapi semakin reda.

Agensi pertahanan awam Sepanyol berkata, taufan Fabien mampu membawa angin sehingga 140 kilometer sejam dan gelombang sehingga 9 meter (30 kaki), ke pantai barat laut negara Atlantik.

Walau bagaimanapun, kesan ribut telah dirasai merentasi Semenanjung.

Pada hari Jumaat, seorang lelaki mati dalam tanah runtuh di Asturias, mangsa kedua terbunuh apabila tembok batu runtuh di Galicia dan mangsa ketiga pula telah dihanyutkan oleh banjir di Castile dan Leon, kata seorang jurucakap kerajaan.

Di Portugal, seorang lelaki meninggal di Montijo, dekat Lisbon, pada hari Khamis selepas pokok menimpa traknya manakala seorang lelaki terbunuh di Castro Daire, utara Portugal, apabila rumahnya runtuh.

Pihak berkuasa perlindungan awam Portugal berkata, pada hari Sabtu hujan lebat dan angin kencang telah mengakibatkan pokok-pokok tumbang dan banjir serta kerosakan kepada infrastruktur.

Lebih 250 orang diselamatkan daripada kediaman-kediaman di perkampungan di tengah Portugal pada Sabtu kerana air sungai meningkat, menurut agensi berita Lusa. – MalaysiaGazette