Gambar hiasan
KULAI – Beberapa kawasan di daerah Mersing dan Kota Tinggi dijangka terjejas akibat banjir sekiranya air pasang berlaku pada 25, 26 dan 27 Disember ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor Jimmy Puah Wee Tse berkata, fenomena air pasang itu dijangka menyebabkan paras air laut mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter.

Beliau berkata, faktor empangan yang tidak boleh menampung jumlah hujan dan seterusnya berlaku limpahan serta fenomena air pasang akan menyebabkan banjir berlaku.

“Ada kawasan di Kota Tinggi yang akan naik sehingga tiga meter… tetapi disebabkan daerah itu rendah yang asalnya paras air dua meter, ia akan terus naik kepada satu meter.

“Bila air pasang datang, air tidak boleh keluar semula (jika bertembung sungai dan empangan) kerana graviti…sebab paras air laut lebih tinggi daripada paras bawah, jadi ia akan berpatah balik. Itulah yang akan menyebabkan banjir,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Pembangunan Usahawan Melalui Pemasaran Online dan Penyampaian Geran Usahawan dan Belia Niaga, di sini, hari ini.

Puah meminta orang ramai supaya bersedia kerana sekiranya hujan lebat pada tiga hari itu (25,26 dan 27 Disember) kemungkinan banjir berlaku.

Beliau turut menjelaskan pihaknya bersiap siaga dari segi aset bagi menghadapi banjir dan menjelaskan bahawa pemantauan banjir sentiasa dilakukan menerusi Jabatan Meteorologi Malaysia serta Jabatan Pengairan dan Saliran.

Sementara itu, Puah berkata paras air Empangan Labong di Mersing dan Machap mengalami limpahan berikutan hujan lebat yang berterusan.

Mengenai program pembangunan usahawan melalui pemasaran dalam talian berkenaan, Puah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Batu berkata ia melibatkan 88 peserta. – MalaysiaGazette