nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) yang telah menggantung operasi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) agar bersikap adil.

RoS harus memberi peluang kepada wakil MTUC untuk membuat penjelasan mengenai sebarang tuduhan terhadap mereka.

Jika MTUC digantung operasi bermakna semua aktiviti kesatuan dan pekerja yang bekerja dibawah MTUC tidak akan dapat meneruskan operasi mereka sebagaimana yang telah diarahkan oleh RoS.

Menurutnya, ia sungguh tidak munasabah jika MTUC terus digantung tanpa sebarang siasatan atau bukti kesalahan.

“Apa yang lebih pelik adalah pengantungan ini berlaku semasa situasi tegang masih berlaku di antara pihak Kementerian Sumber Manusia dan MTUC. Tidakkah ia memberi lebih banyak spekulasi negatif ke atas isu ini?

“Ia tidak seharusnya berlaku sebegini kerana ramai pihak antara wakil-wakil kesatuan tahu apa sebenarnya yang menyebabkan krisis ini berlaku. Ini adalah seperti dua gajah bergaduh, pelanduk di tengah-tengah,” katanya dalam satu kenyataan.

NUFAM berpendapat MTUC sebagai institusi atau badan yang mewakili berjuta-juta pekerja di dalam negara dan juga sebuah badan yang mewakili gabungan kesatuan kesatuan Malaysia tidak seharusnya digantung sebegitu saja kerana isu ini berpunca daripada salah faham.

Selain itu, katanya, ia juga disebabkan hasrat sesetengah pihak yang mahu melemahkan MTUC.

“Sebaik-baiknya pihak jabatan memanggil wakil wakil MTUC dan mendapatkan kesahihan atas sebarang laporan dibuat terhadap aktiviti MTUC yang dikatakan telah melanggar peraturan.

Bukan atas sebab satu, dua laporan tanpa soal siasat aktiviti MTUC terus digantung, sedangkan pendekatan ini pun dianggap salah dari segi prinsip keadilan.

Mana-mana pihak yang membuat tuduhan harus ada bukti kukuh dahulu dan bersikap adil, tegas NUFAM.

Ini kerana, dakwanya, jika hendak dibanding dengan isu isu yang lebih ketara melibatkan badan- badan lain, isu MTUC ini tidak seberat yang dinyatakan.

“Cuba lihat sesetengah pertubuhan atau parti politik yang masih diberi peluang sehingga hari ini untuk menjalankan aktiviti walaupun banyak tuduhan dan laporan dibuat terhadap mereka. Adakah kita tidak nampak semua ini?

“MTUC sebagai satu badan yang lama bagi membela nasib kaum pekerja di dalam negara telah juga banyak berbakti kepada pembangunan ekonomi negara.

“Jangan kita lupa MTUC bersuara atas isu kepentingan kaum pekerja di dalam negara.

“Tidak dinafikan juga MTUC telah juga membantah keputusan dibuat tanpa pengetahuan mereka oleh pihak kerajaan tetapi ini tidak bermakna MTUC menentang kerajaan dalam semua aspek polisi kerajaan untuk kaum pekerja. Ini semua berpunca juga atas sebab salah faham,” ujarnya.

MTUC memiliki lebih 600 ahli gabungan kesatuan di dalam Malaysia.

Lantaran itu, sebagai satu badan mewakili kaum pekerja, MTUC harus bersuara dan menegur agar mana-mana pihak maupun kerajaan asalkan tidak lari dari prinsip dan nilai untuk membantu dan menjaga kepentingan kaum pekerja dan badan kesatuan di dalam negara.

NUFAM mendakwa, sesetengah pihak yang mahu melihat pepecahan dan kelemahan MTUC pula harus bersikap rasional kerana badan ini adalah satu badan yang telah diikhtiraf kerajaan selama 70 tahun bagi mewakili kaum pekerja.

Lagipun, hanya badan ini yang masih berdiri teguh atas prinsip untuk menjaga keadilan dan kepentingan demi kebajikan kaum pekerja di dalam negara.

“Jika ada pihak lain mahu mengambil alih kedudukan MTUC, biarlah secara baik dan bersikap jujur dan terbuka.

“Mana-mana badan pun boleh ditubuhkan selagi ia tidak mempunyai agenda yang memburukan nama baik kaum pekerja dan kesatuan. Tetapi janganlah atas sebab sikap dengki-mendengki, kaum pekerja pula menjadi mangsa dalam keadaan sebegini.

“Setiap masalah atau krisis ada jalan penyelesaian dengan cara muafakat dan juga saling menghormati satu sama lain.
Jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini segera dengan mengadakan perbincangan antara semua pihak yang terlibat,” kata NUFAM. – MalaysiaGazette