Datuk Seri Amirudin Shari lawatan ke kawasan Kolam Tasik Idaman

KUALA LUMPUR – Bekalan air yang terjejas Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang dijangka pulih di kawasan tertentu bermula petang ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah pengawasan dan pemantauan akan terus dilaksanakan.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah mengambil dua langkah untuk mencairkan pencemaran dengan menyedut air dari Kolam Tasik Idaman menggunakan pam air.

Selain itu, katanya, air dari Empangan Semenyih juga telah dilepaskan ke Sungai Semenyih. Ini bagi mencairkan pencemaran.

“Langkah seterusnya pihak Air Selangor telah menggerakkan 70 Lori Tangki Air, 16 Lori Tangki Jumbo,31 Tangki Statik serta 10 Pili Air Awam ke seluruh kawasan yang terlibat. Keutamaan adalah hospital di mana lori tangki jumbo telah digerakkan ke Hospital Kajang dan Hospital Serdang

“Seterusnya, penggunaan Kolam Terminal Bangi dari Loji Rawatan Air Langat 2. Bekalan air dari Langat 2 akan memenuhi Kolam Terminal ini untuk kegunaan para pengguna terutama di kawasan Hulu Langat. Seramai 55,564 pengguna dari 104 kawasan akan menerima bekalan air dari skim ini,” katanya dalam akaun twitter hari ini.

Pada Sabtu lalu,  Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berpunca akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik IWK itu.

Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

Sementara itu, Amirudin melakukan lawatan ke kawasan Kolam Tasik Idaman pada petang ini iaitu lokasi proses pengepaman air bersih ke kawasan pencemaran berlaku.

Katanya, pada petang ini proses pencairan pencemaran melalui pam akan dilaksanakan di Kolam Tasik Idaman. – MalaysiaGazette