KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang menegaskan bahawa semua tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti penerokaan haram di Cameron Highlands terutamanya di kawasan tadahan air Kuala Terla, Sungai Ichat mematuhi segala undang-undang dan berlandaskan ‘rule of law’.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, sebagai contoh, pihak kerajaan negeri telah menghentikan tindakan meroboh kebun haram di kawasan itu selepas sebahagian peneroka di situ memperoleh injuksi daripada Mahkamah Tinggi Kuantan pada 11 Mac lepas.

Bagaimanapun, mereka telah menarik semula permohonan dan memberhentikan tindakan saman itu pada 30 September lepas, yang membolehkan kerajaan negeri kembali meneruskan operasi penguatkuasaan bagi memulihkan kawasan berkenaan.

“Kerajaan negeri komited untuk meneruskan tindakan penguatkuasaan dan tidak akan berkrompromi bagi memastikan kelestari alam sekitar dan kepentingan rakyat di Cameron Highlands dapat direalisasikan.

“Loji Air (LA) Kuala Terla adalah loji air yang terpenting dan terbesar dengan menyalurkan lebih 70 peratus kepada keperluan air bersih di Cameron Highlands yang melibatkan 8,332 akaun,” katanya di sini, hari ini.

Sallehuddin berkata, loji itu mempunyai ‘design flow capacity’ air mentah sebanyak 855m3/jam namun, buat masa ini air dari Sungai Terla hanya mampu menyediakan 580m3/jam yang mana ada kadangkala berkurangan menyebabkan air dari Sungai Ichat amat diperlukan.

Beliau menambah, pemerhatian oleh Perbadanan Air Pahang (PAIP) juga mendapati kualiti air sungai Ichat mulai pulih selepas tindakan penguatkuasaan dengan kerja pembersihan dilakukan hampir setiap minggu oleh PAIP.

“Berdasarkan perancangan semasa, PAIP bercadang untuk melakukan pengalihan Sungai Ichat untuk bercantum dengan Sungai Terla bermula suku tahun kedua tahun 2020 seperti reka bentuk asal pembinaan LA Kuala Terla.

“Tindakan ini diharapkan akan dapat meningkatkan dan menstabilkan aliran air mentah untuk kegunaan di LA Kuala Terla kerana aliran air kini tidak mampu untuk menampung keperluan semasa dan pembangunan di Cameron Highlands,” katanya.

Sallehuddin berkata, tindakan penguatkuasaan itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah agar pencerobohan di kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya di Sungai Ichat dihentikan segera, selepas Seri Paduka mencemar duli meninjau lokasi terlibat pada 7 September lalu.

Titah Al-Sultan Abdullah itu disusuli dengan Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pemulihan Cameron Highlands yang dipengerusikan bersama oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada 9 Disember lalu yang bersetuju Op Lestari 2 diteruskan bermula 16 Disember lalu. – Bernama