Charles Leclerc menyambung kontrak lima tahun bersama pasukan F1 Skuderia.

MILAN – Pelumba muda pasukan Formula Satu (F1) Ferrari, Charles Leclerc menandatangani kontrak baharu bertempoh lima tahun bersama pasukan itu.

Dengan pemeteraian kontrak baharu itu, pelumba licik warga Perancis itu akan kekal bersama Ferrari sehingga 2024.

Leclerc ditawarkan kontrak baharu oleh Ferrari berikutan persembahan mantap musim pertamanya selepas menggantikan Kimi Raikkonen pada musim 2019.

Pelumba berusia 22 tahun itu menang dua perlumbaan berturut-turut iaitu Grand Prix Belgium dan Itali dan memulakan tujuh perlumbaan pada petak pertama.

Malah Leclerc menamatkan musim lalu di tempat keempat bagi mengatasi juara empat kali dan rakan sepasukan, Sebastian Vettel yang menduduki tempat kelima.

“Kami gembira menawarkan kontrak baharu untuk mengekalkan pelumba muda berbakat ini bersama Skuderia untuk lima tahun akan datang.

“Kami pasti pasukan ini akan memahat sejarah baharu bersama pelumba berbakat muda ini pada musim akan datang,” kata ketua pasukan Ferrari, Mattia Binotto. – MalaysiaGazette