Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengharamkan lima jenis produk kosmetik yang mengandungi racun yang membahayakan kesihatan.

Lima produk tersebut adalah Natural Plant Skin Refining Moisturizer Cream, Sparkle Moon Night Cream, V3 Premier Beauty Facial Night Cream, Brilliant Skin Essentials Rejuvenating Facial Toner and Brilliant Skin Essentials Rejuvenating Facial Cream.

“Notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk-produk berkenaan.

“Oleh itu, produk-produk kosmetik tersebut tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Produk yang mengandungi miconazole, betamethasone valerate, hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan dan secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, Miconazole iaitu ubat anti-fungal, jika diguna secara tidak terkawal boleh meningkatkan risiko kerintangan dan seterusnya mengurangkan keberkesanannya untuk merawat jangkitan pada masa hadapan.

Mengandungi merkuri dan Betamethasone valerate

Betamethasone valerate pula boleh menyebabkan bahagian kulit muka yang disapu menjadi nipis dan mudah mengalami iritasi, berjerawat, perubahan pada pigmentasi kulit dan meningkatkan risiko untuk diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

Mengangdungi Hydroquinone

Manakala, Hydroquinone boleh menyebabkan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit yang tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi (depigmentasi) yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV merbahaya dan boleh meningkatkan risiko kanser kulit.

Mengandungi Hydroquinone

Penggunaan tretinoin tanpa pengawasan profesional kesihatan pula boleh menyebabkan bahagian kulit yang disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin

Merkuri adalah racun yang dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh menganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Para penjual-penjual dan pengedar produk-produk kosmetik berkenaan perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, katanya.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Orang awam pula dinasihatkan untuk berhenti menggunakan produk berkenaan dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan.- MalaysiaGazette