Tan Tai Kim

KUALA LUMPUR – Baca perutusan tahun baharu 2019 pengerusi Dong Zong, anda akan faham mengapa pertubuhan itu dilihat terlalu berani dan besar kepala mencabar keputusan kerajaan serta melanggar undang-undang negara dengan menentang pengajaran tulisan Jawi di SJK Cina dan India.

Pemerhati politik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dalam ucapan Tan Tai Kim, beliau berkata, dengan pembentukan kerajaan baharu, Dong Zong telah menyaksikan beberapa kejayaan dalam pendidikan Cina.

Kata Tan lagi, buat kali pertama, Dong Zong menyaksikan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina menerima dana daripada kerajaan. RM12 juta akan diberi kepada 60+1 sekolah menengah persendirian Cina.

“Lebih bagus lagi, 3 kolej persendirian, iaitu Southern University College, New Era University College dan Han Chiang University College, akan menerima RM2 juta setiap satu sebagai dana pembangunan.

“Biarpun jumlah dana tidak terlalu besar, apa yang lebih penting ialah fakta bahawa kita akhirnya melihat cahaya di hujung terowong.

“Apa yang Dong Zong perjuangkan selama ini – mendapatkan layanan saksama untuk pendidikan Cina dan dana kerajaan dilembagakan untuk sekolah-sekolah menengah persendirian Cina—akhirnya telah menjadi kenyataan,” kata Tan.

Soal Kamarul, siapakah yang bersalah hingga membuatkan Dong Zong mampu merayakan kejayaan perjuangan mereka untuk mendapatkan layanan saksama untuk pendidikan Cina dan dana kerajaan dilembagakan untuk sekolah-sekolah menengah persendirian Cina.

Hujahnya lagi, apakah layanan saksama untuk pendidikan Cina dan dana kerajaan dilembagakan untuk sekolah-sekolah menengah persendirian Cina ini adalah sesuatu yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Jika tidak, mengapa ia tetap diberikan?,” soal Kamarul lagi.

Lantaran itu, katanya, apakah pelik apabila Dong Zong kini berani mencabar keputusan kerajaan dan melanggar undang-undang negara setelah ia sebelum ini diberikan sesuatu yang berada di luar daripada lingkungan Perlembagaan Persekutuan oleh pemimpin kerajaan.

“Siapa pemimpin kerajaan yang membantu Dong Zong memenuhi matlamat perjuangannya?.

“Dan apakah pula kejayaan yang Dong Zong akan rayakan sempena Tahun Baru 2020 ini?,” tanya beliau lagi. – MalaysiaGazette