Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak foto FAREEZ FADZIL, 07 OGOS 2019

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoalkan tindakan kerajaan yang meluluskan kenaikan tarif pos bermula tahun depan bagi menyelamatkan Pos Malaysia Bhd.

“Sudah tentu saya bimbang jika Pos Malaysia (yang telah diswastakan oleh PM ke-4) dalam bahaya sehingga pekerja-pekerja mereka terjejas.

“Tetapi saya tertanya-tanya juga jika kerajaan ada cara lain untuk selamatkan Pos Malaysia tanpa kenaikan tarif yang begitu tinggi itu.

“Sebab pihak sebenar yang akhirnya selamatkan Pos Malaysia adalah rakyat melalui bayaran tarif lebih tinggi – bukan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Tahun depan bukan senang untuk rakyat kerana banyak lagi tarif, caj dan cukai berlainan telah dinaikkan oleh kerajaan PH.

“Kini tarif pos dinaikkan berganda pula untuk “selamatkan” Pos Malaysia yang sebelum ini tidak perlu diselamatkan pun,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan yang menyebut, akan berlaku kenaikan tarif pos sebanyak 30 peratus sehingga 210 peratus pada tahun hadapan dan kadarnya akan ditingkatkan sebanyak 50 peratus lagi pada 2021.

Najib mendakwa, Pos Malaysia tidak pernah mencatatkan kerugian sepanjang pemerintahan beliau.

“Sebab itu, saya tertanya-tanya kenapa Pos Malaysia tiba-tiba rugi besar sejak PH menang sehingga perlu diselamatkan.

“Dalam tempoh 2009 hingga 2017 saya PM, POS Malaysia tidak pernah melaporkan kerugian.

“Tahun 2016, Pos Malaysia keuntungan selepas cukai ialah RM63.1 juta.

“Tahun 2017, keuntungan naik ke RM84.1 juta.

“Tahun 2018 pula selepas PH menang, Pos Malaysia umum kerugian selepas cukai sebanyak RM165.8 juta.

“Setakat separuh tahun pertama 2019 pula, Pos masih mencatat kerugian sebanyak RM44.4 juta,” katanya lagi.

Baru-baru ini terdapat satu laporan oleh agensi berita kerajaan, Bernama mengenai keputusan kerajaan yang secara tidak langsung telah pun bersetuju untuk menaikkan kadar tarif pos yang baru bagi Pos Malaysia.

Ia satu keputusan baik yang dialu-alukan oleh Pos Malaysia selepas sekian lama memperjuangkan kenaikan kadar tarif demi kelangsungan syarikat itu.

Keputusan itu penting bagi memastikan Pos Malaysia terus kekal relevan dan mampu bersaing dalam revolusi industri digital yang sedang meledak ketika ini, katanya.- MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. mungkin zaman ph pos banyak hantar surat tanpa stem. sebab tu banyak rugi hantar surat saman saja pun orang umno beribu2 orang.

Comments are closed.