Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Pas hari ini menggesa agar kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengekalkan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK).

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan pemansuhan tersebut tidak munasabah berbanding keadaan semasa yang dihadapi oleh sebilangan penjawat awam yang terlibat.

“Pas meminta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menarik balik pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal seperti yang diumumkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 – Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam bertarikh 20 Disember 2019.

“Pas yakin kajian setiap lima tahun terhadap BIPK akan mendapati tahap kritikal bagi beberapa skim tidak berubah terutama dalam sektor kesihatan awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

BACA: Mansuh elaun: Penjawat awam bertambah malang

Tuan Ibrahim berkata demikian merujuk kepada langkah pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) yang akan dilancarkan kerajaan mulai Januari depan.

Sebelum ini, Malaysian Medical Association juga telah memaklumkan bahawa para doktor dan jururawat di hospital serta klinik kerajaan berisiko ‘burnout’ disebabkan tekanan kerja dan kekurangan staf.

“Mereka terdedah dengan keadaan persekitaran yang berisiko dan pasaran buruh yang sangat tenat,” katanya lagi.

BACA: Syed Saddiq pulangkan elaun, protes pekeliling JPA

BIPK telah diperkenalkan sejak pelaksanaan Sistem Saraan Baru pada 1 Januari 1992 dan melibatkan sekurang-kurangnya lebih 35 skim perkhidmatan seperti jurutera, jururawat dan pegawai perubatan.

Dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2019 Pengukuhan Pelaksanaan Pemberian Elaun Dalam Perkhidmatan Awam memperuntukkan elaun untuk 33 skim perkhidmatan kritikal penjawat awam dimansuhkan.

Bayaran yang dimansuhkan adalah bayaran insentif angkat najis, bayaran insentif menaip Jawi, elaun keraian kepada setiausaha sulit dan setiausaha sulit kanan dan elaun khas penolong pemungut hasil tanah.

Turut dimasukkan bayaran elaun operator generator elektrik, elaun penyelia bilik taip, eelau tilikan trigonometric observation, insentif profisensi bahasa Inggeris dan bayaran insentif perkhidmatan kritikal.

BACA: Pemansuhan elaun kritikal hanya babitkan pelantikan mulai 1 Januari 2020

Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Awam berkata pemansuhan BIPK hanya melibatkan pelantikan baharu mulai 1 Januari 2020 dan penerima BIPK sedia ada tidak terjejas dengan pemansuhan ini. -MalaysiaGazette