D. Saarvindran
KUALA TERENGGANU- Bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim II (JDT ll), D. Saarvindran sah menyertai pasukan Terengganu (TFC) musim hadapan.

Perkara itu diumumkan oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menerusi laman sosial facebook rasmi TFC, Terengganu Football Club selepas selesai majlis menandatangani kontrak hari ini.

Menurut kenyataan itu, Saarvindran yang berasal dari Klang, Selangor sebelum ini pernah mewakili pasukan Harimau Muda, Pahang sebelum menyertai JDT ll pada 2017.

“Saarvindran telah mengikat kontrak selama setahun dengan TFC. Kehadirannya diharap dapat memantapkan lagi skuad Penyu dalam mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2020,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Jurulatih TFC, Nafuzi Zain berkata, khidmat pemain berusia 27 tahun itu amat ditagih bagi memantapkan dan memberi lebih pilihan pemain di bahagian sayap.

“Kita mengambil keputusan untuk mendapatkan khidmat Saarvindran selepas membuat penelitian selama dua minggu iaitu ketika beliau menjalani latihan bersama pasukan TFC.

“Saya berharap beliau mampu mempamerkan prestasi hebat seperti mana ketika mewakili pasukan Harimau Muda, Pahang dan JDT ll,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast