Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor

SUBANG JAYA – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menjangkakan keputusan siasatan Jabatan Pendaftar Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) mengenai kemelut dalaman yang berlaku dalam kongres itu selesai seminggu lagi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengarah JPPM Selangor, Nurul Azhar Husin dalam mesyuarat khas yang diadakan di Shah Alam selama sejam setengah pagi ini.

Presiden MTUC, Datuk Abdul Halim Mansor berkata, pihaknya dimaklumkan oleh JPPM tindakan siasatan itu susulan aduan yang diterima daripada salah satu kesatuan dalam kongres sebelum notis penggantungan dikeluarkan RoS.

“Kami diberitahu dalam mesyuarat itu bahawa segala mesyuarat melibatkan kongres digantung dan dilarang sepanjang proses siasatan.

“Namun sepanjang tempoh penggantungan sementara, MTUC boleh meneruskan kerja-kerja kebajikan kakitangan, selain meneruskan khidmat perwakilan MTUC untuk pekerja termasuk mahkamah dan jabatan serta agensi berkenaan.

“Memandangkan Setiausaha Kewangan Mohd Effendy Abdul hani  sudah meletakkan jawatan sejak sejak 9 November lalu, kami terpaksa menangguhkan segala urusan penbayaran kebajikan seperti yang dinasihatkan JPPM sehingga persidangan Mesyuarat Majlis Am ditetapkan dan diadakan nanti,”katanya dalam sidang media khas di Wisma MTUC di sini.

Turut serta dalam sidang media itu Naib Presiden MTUC R. Jey Kumar dan Setiausaha Agung J.Solomon.

Katanya, Mohd Effendy merupakan satu-satunya individu berkuasa dalam hal kewangan kongres dan tidak ada individu kedua untuk meneruskan urusan bagi pihaknya.

Sehingga itu, pihaknya tidak boleh meneruskan urusan cek atau urusan pembayaran bil utiliti sehingga perletakan jawatan Effendy disahkan dalam Persidangan Majlis Am Kongres yang telah melantiknya serta tindakan sewajar dalam perkara ini.

Dalam perkembangan sama katanya, status MTUC masih digantung sementara daripada menganjurkan mesyuarat atau perbincangan kongres sehingga siasatan selesai.

Malah, katanya mesyuarat Majlis Sidang Majlis Am bagi memilih kepimpinan baharu yang sepatutnya Ahad ini 29 Disember ini juga terpaksa ditangguh.

JPPM sebelum ini dilaporkan memberi tempoh masa 30 hari mulai 18 Disember lalu kepada MTUC untuk menjawab surat tunjuk sebab berhubung dakwaan pengurusan kurang cekap.

Surat tunjuk sebab itu dikeluarkan JPPM selepas menerima aduan bertarikh 2 Julai lalu yang mendakwa MTUC mempunyai masalah tadbir urus.

Rentetan itu satu kertas siasatan telah dibuka JPPM terhadap MTUC dalam perkara ini pada 29 Ogos lalu mengikut Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

Notis 12(2A) iaitu perintah penggantungan terhadap MTUC turut dikeluarkan JPPM bagi menangani sebarang tindakan yang berupaya melanggar mana-mana peraturan pertubuhan itu.-MalaysiaGazette