Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekalan bawang merah daripada India yang terputus kebelakangan ini telah memberi kesan kepada peningkatan harga yang mendadak.

Para pelanggan kelihatan tidak lagi membeli dalam kadar banyak, sebaliknya hanya mengambil beberapa biji sahaja mengikut keperluan.

Demikian luah peruncit di Pasar Sungai Besi, Habibah Bachik, 67.

Oleh kerana itu beliau dan peruncit lain terpaksa membeli bawang dari Pakistan untuk mengelakkan perniagaan semakin merudum.

Peniaga, Habibah Bachik,67 ketika ditemubual pada tinjauan mengenai kenaikan harga bawang di pasaran di Pasar Besar Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 27 DISEMBER 2019.

Ujarnya, harga bawang Pakistan dijual pada harga kira-kira RM6 sekilogram  tidak semurah yang dijual sebelum ini.

Bagaimanapun, tambah Habibah, harga tersebut masih berpatutan berbanding bawang India yang mencecah RM12 sekilogram.

“Dulu bawang India sebelum terputus bekalan, murah sedikit. Sekarang mak cik jual dari Pakistan, mak cik jual dalam lebih kurang lebih RM6. Orang beli sikit-sikit sahaja, kadang-kadang bawang besar orang beli sedikit, tidak ada beli sekilogram, ada  juga yang beli tiga hingga empat bawang merah sahaja,” katanya kepada Malaysiagazette.

Begitu juga dengan Subramaniam anak/lelaki Ponusamy, 72 yang mengambil langkah sama seperti Habibah dan peruncit lain di pasar tersebut.

Peniaga, Subramaniam Ponusamy,72 ketika ditemubual pada tinjauan mengenai kenaikan harga bawang di pasaran di Pasar Besar Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 27 DISEMBER 2019.

Tiada pilihan lain, katanya, sekiranya tidak mahu kehilangan pelanggan, mereka perlu memastikan bekalan bawang merah untuk dijual tidak pernah terputus.

“Bawang daripada India memang sudah tiada bekalan kalau ada sebab kurang akan mahal. Sebab itu kalau lihat sekarang ramai di sini jual bawang merah dari Pakistan.

Peniaga, Siti Hajariah Asri,78 ketika ditemubual pada tinjauan mengenai kenaikan harga bawang di pasaran di Pasar Besar Pekan Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 27 DISEMBER 2019.

Namun bagi Siti Hajariah Asri, 78 beliau sedaya upaya berusaha memastikan mendapatkan bekalan bawang daripada pemborong yang pelbagai seperti dari China dan Thailand.

“Terpaksa naikkan juga harga bawang sebab kami tiada pilihan. Tapi ya lah kita naikkan pelanggan pun bijak akan pilih jenis-jenis bawang yang lain kan. Sebab saya sediakan bawang ada dari China, ada dari Siam juga,” katanya lagi.-MalaysiaGazette