PUTRAJAYA – Pendidikan literasi kewangan penting untuk semua peringkat masyarakat kerana ia mampu bertindak sebagai pertahanan pertama kepada pengguna daripada amalan pasaran yang tidak adil, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata oleh kerana teknologi akan terus mengubah cara bagaimana perkhidmatan dan produk kewangan diperkenalkan, pengguna perlu dilengkapi dengan kemahiran untuk mengamalkan kebersihan siber yang baik atau “good cyber-hygiene” bagi mengurangkan risiko menjadi mangsa di ruang siber.

“Pendidikan literasi kewangan perlu di semua peringkat, daripada tahap sekolah rendah dan menengah kepada peringkat institusi pengajian tinggi sehinggalah kepada golongan yang sudah bekerja atau berniaga, yang akan bersara dan sudah bersara.

“Ia juga penting untuk peserta-peserta dalam industri kewangan dan juga industri-industri yang berkaitan,” katanya semasa merasmikan Festival Putrajaya LIFT (Literasi Teknologi Kewangan), di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata pengguna perlu mengetahui risiko berkaitan penggunaan teknologi kewangan (Fintech) antaranya risiko berhutang di luar kawalan akibat membeli melebihi kemampuan disebabkan oleh akses mudah kepada kredit dan gedung maya.

Beliau berkata risiko lain termasuk salah guna maklumat pengguna oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mempunyai akses kepada maklumat tersebut.

“Selain itu, penipuan kewangan atau “financial scam” melalui media sosial atau telefon dengan mengaitkannya dengan teknologi kewangan, sebagai contoh ancaman dan seterusnya arahan palsu supaya mangsa membuat pindahan wang daripada akaunnya kepada akaun yang tidak diketahui,” katanya.

Menurutnya dalam masa sama, kerajaan juga perlu memperkenalkan dasar dan undang-undang yang mengambil kira aspek perkhidmatan kewangan melalui teknologi sedia ada dan yang akan diperkenalkan serta perlindungan ke atas pelanggan dan peserta industri.

Dr Wan Azizah berkata itulah sebabnya Festival Putrajaya LIFT diadakan bagi memperkasakan celik kewangan dalam kalangan rakyat selaras dengan hasrat kerajaan untuk membina masyarakat digital.

“Festival ini mempamerkan literasi mengenai teknologi kewangan pada masa kini dan hadapan serta memberi inspirasi serta maklumat yang relevan lagi praktikal terhadap pemerkasaan kewangan teknologi dan digital.

Timbalan perdana menteri berkata pelbagai aktiviti disediakan pada festival itu seperti seminar, ceramah, bengkel dan pameran menarik daripada institusi kewangan dan syarikat Fintech.

“Selain itu, terdapat pelbagai perkhidmatan dan nasihat kewangan seperti penyelesaian pertikaian, aktiviti untuk kanak-kanak, pembiayaan kewangan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan perumahan, semakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) serta maklumat berhubung penipuan kewangan,” katanya.

Festival yang dianjurkan dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) itu berlangsung hari ini dan esok di tiga lokasi iaitu Menara PERKESO Putrajaya, Bangunan Suasana Putrajaya Holdings dan Kompleks Kementerian Kewangan.- BERNAMA