Datuk Seri Rina Harun

SEPANG – Datuk Seri Rina Mohd Harun senada dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyokong cadangan supaya elaun menteri Kabinet dan pemimpin politik dipotong berikutan cadangan pemansuhan elaun 33 jawatan kritikal penjawat awam.

Menteri Pembangunan Luar Bandar itu berkata, beliau menyambut baik cadangan tersebut walaupun pemotongan elaun menteri Kabinet telah dilaksanakan.

“Sebenarnya elaun menteri memang telah dipotong sejak tahun lepas, ada dibangkitkan sekali lagi dalam mesyuarat Kabinet baru-baru ini.

“Hasilnya, sekiranya nak ia (potongan elaun Menteri) diteruskan, maka kami memutuskan untuk meneruskan pemotongan elaun semua menteri Kabinet selepas ini.

“Bagaimanapun isu elaun kritikal yang bakal dimansuhkan kerajaan mulai Januari 2020 ini, penjawat awam kita di kementerian tidak ada yang terlibat. Kami sokong juga ya pemotongan elaun itu.sekarang masih diteruskan pun,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Wacana Ilmu Wanita Inspirasiku bertemakan ‘Wanita Desa ke Global’ di Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat peringkat negeri Selangor.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk menangguhkan keputusan menamatkan pemberian Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) kepada penjawat awam profesional yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan.

Semalam, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu berkata, beliau tidak kisah elaun menteri dipotong sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Cadangan elaun menteri dipotong adalah cetusan ideas Syed Saddiq selepas kerajaan membuat mengumumkan penagguhan penamatan BIPK kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula tahun depan. – MalaysiaGazette