Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan), Waytha Moorthy bercakap kepada media ketika hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 04 DISEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Menteri Perpaduan, P Waytha Moorthy didesak agar memainkan peranan berhubung kemelut yang dicetuskan golongan yang menolak perlaksaan tulisan Jawi, terutamanya Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Waytha yang memegang portfolio Menteri Perpaduan harus bertindak segera dan tidak hanya mendiamkan diri.

“Sebelum ini pun, Menteri Perpaduan bisu dalam isu rusuhan yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman sehingga menyebabkan kaum India merusuh dan mengorbankan nyawa anggota bomba yang bertugas. Adakah Menteri Perpaduan tidak kisah jika peristiwa pahit itu berulang lagi?

“Sehingga hari ini, kerajaan gagal menyediakan solusi, sebaliknya lebih selesa menyandarkan isu bantahan sebagai satu lagi propaganda daripada pembangkang.

“Kenyataan parti-parti politik dalam kerajaan seperti DAP yang menyokong secara bersungguh-sungguh tidak membantu dalam meredakan ketegangan dan kemarahan rakyat terhadap kedegilan Dong Zong,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penglibatan Waytha ditagih menjadi orang tengah bagi melakukan sesuatu yang boleh menyelesaikan isu bantahan itu.

“Dakwaan Dong Zong bahawa 900 sekolah SJKC turut menyatakan sokongan menolak pengenalan tulisan Jawi perlu diimbangkan dengan keperluan untuk semua rakyat Malaysia tidak kira kaum dan agama mempelajari perkataan-perkataan Jawi yang menjadi tiang asas kepada pembinaan negara bangsa dan jati diri Malaysia.

“Kebisuan Menteri Perpaduan hanya membuktikan bahawa beliau langsung tidak layak berada dalam Kabinet dan memegang portfolio perpaduan,” katanya lagi.

Sabtu lalu, Dong Zong diarahkan untuk membatalkan Kongres Jawi yang diadakan di Kolej New Era, Kajang.

Dong Zong akhirnya mematuhi perintah mahkamah yang diperoleh polis daerah Kajang untuk membatalkan kongres mereka bagi membincangkan bantahan terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat. -MalaysiaGazette