KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan akan menguatkuasakan sepenuhnya larangan merokok di tempat makan mulai 1 Januari 2020.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, larangan itu adalah perluasan pewartaan di tempat makan mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 yang berkuaskuasa sejak 1 Januari lalu.
Sebelum ini, katanya kementerian telah mewartakan tempat makan di seluruh negara sebagai kawasan larangan merokok dengan penguatkuasaan selama satu tahun.
“Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula Rabu ini, mereka yang merokok di kawasan larangan termasuk semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.
“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dalam tempoh satu bulan dari tarikh izin kompaun diterima.
“Untuk kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh sebanyak RM250 akan dikenakan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.
Namun, kata Dr. Noor Hisham, kompaun lebih tinggi sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.
Di bawah Peraturan 12, PPKHT 2004, semua pemilik premis mesti memastikan tempat makan bebas dari sebarang bentuk amalan merokok dengan tidak menyediakan bekas abu rokok, perkhidmatan menjual shisha serta lain-lain kemudahan merokok.
Kata beliau, pemilik premis juga perlu memastikan tanda larangan merokok mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.
“Bagi tujuan penguatkuasaan penuh 1 Januari 2020 ini, pemilik premis boleh dikenakan kompaun RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua, manakala kesalahan ketiga dan seterusnya RM350,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut memberi kerjasama dan sokongan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 bermula Rabu ini berjalan lancar.
“Bagi perokok berhasrat berhenti merokok dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit yang disediakan.
“mQuit turut disediakan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan seluruh negara atau di fasiliti perkhidmatan berhenti merokok swasta yang telah diberikan akreditasi,” katanya.
Beliau berkata, mereka juga boleh mendapatkan maklumat serta berdaftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette
















