Mohd Uzir Mahidin.

KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat 1.2 peratus pada bulan November 2019 kepada 106.5 berbanding 105.2 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Ini adalah perubahan tahun ke tahun positif yang pertama setelah penurunan 12 bulan berturut-turut sejak November 2018.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks pertanian, perhutanan & perikanan menunjukkan peningkatan dua digit, 19.9 peratus diikuti indeks perlombongan (6.4%) dan bekalan elektrik & gas (0.6%).

Sebaliknya, indeks bekalan air dan pembuatan masing-masing menurun sebanyak 2.3 peratus dan 0.7 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan meningkat 1.3 peratus pada November 2019 disokong oleh indeks pertanian, perhutanan & perikanan (10.5%), Perlombongan (8.9%) dan Bekalan air (0.1%).

Jadual 1 : Indeks Harga Pengeluar (2010=100) Pengeluaran Tempatan mengikut Sektor (MSIC 2008), Malaysia

Sementara itu, indeks bekalan elektrik & gas merekodkan penurunan sebanyak 0.3 peratus dan indeks pembuatan (-0.2%).
Menurutnya, pada November 2019, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan meningkat 1.2 peratus berbanding November 2018.

Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (5.9%) dan Barang siap (1.4%). Walau bagaimanapun, indeks bahan perantaraan, bekalan & komponen menurun 0.4 peratus.

Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan bagi November 2019 meningkat 1.3 peratus berbanding Oktober 2019.

Peningkatan ini disebabkan indeks bahan mentah untuk diproseskan selanjutnya (6.5%) dan bahan perantaraan, bekalan & komponen (0.4%) peratus. Sebaliknya, indeks Barang siap menurun 0.2 peratus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast