Dr. Asyraf Wajdi

KUALA LUMPUR – Pengakuan Khalid Samad yang tidak membaca kertas cadangan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi 33 skim perkhidmatan sebelum ia diluluskan tidak boleh diterima sama sekali.

Malah, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi berkata, keputusan memansuhkan elaun kritikal itu diluluskan sewenang-wenangnya tanpa membaca kertas cadangan secara terperinci adalah amat mengecewakan.

Apatah lagi, cadangan itu melibatkan periuk nasi rakyat.

“Kenapa angkuh dan sombong sangat tatkala jadi Menteri? Sudah tercabutkah naluri keinsanan untuk mengambil kira denyut nadi rakyat yang hakikatnya kian tertekan dengan kos sara hidup yang tidak turun-turun sebagaimana dijanjikan PH (Pakatan Harapan) sebelum jadi kerajaan?,” soalnya.

Asyraf menambah, kalau sudah malas dan tiada masa membaca kertas Kabinet, lebih baik letak jawatan.

“Kalau hal ehwal rakyat pun begitu mudah diperkotak-katikkan, lebih baik bubar Parlimen! Setuju?,” ujarnya. – MalaysiaGazette