KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Seri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Lantikan itu bagi menggantikanTan Sri Dr. Ismail Bakar yang bercuti sebelum persaraan wajib.

“Datuk Seri Mohd Zuki Ali, 58 tahun, berkelulusan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dari Nanyang University, Singapura telah
berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 28 tahun dan mempunyai pengalaman luas dalam perkhidmatan awam.

“Beliau sebelum ini pernah berkhidmat di Kementerian Kewangan, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar,” jelas PMO dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan berkenaan, lantikan itu telah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Mohd Zuki pernah bertugas di Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri, Setiausaha Persekutuan Sarawak serta menjawat jawatan selaku Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.

Pada Ogos lalu, Dr Ismail Bakar dilantik Ketua Setiausaha Negara (KSN) baharu bagi menggantikan Tan Sri Dr Ali Hamsa. -MalaysiaGazette