KUALA LUMPUR – Mulai 1 Januari 2020 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 diperluaskan kepada 19 sektor tidak formal lain di seluruh negara.

Sektor-sektor tersebut adalah seperti berikut :-
1. Perkhidmatan Pengangkutan dan Penghantaran Barangan atau Makanan
2. Pertanian
3. Penternakan dan Pengeluaran Ternakan
4. Pengambilan Hasil Hutan
5. Perikanan
6. Penyediaan dan Penjualan Makanan
7. Aktiviti Pengilangan Produk
8. Kerja-kerja Pembinaan
9. Menjaja atau Berniaga
10.Perkhidmatan Premis Penginapan
11.Perniagaan Dalam Talian (Online)
12.Perkhidmatan Berkaitan Teknologi Maklumat
13.Perkhidmatan Pengumpulan dan Pemprosesan Data
14.Perkhidmatan Ejen
15.Perkhidmatan Profesional
16.Khidmat Sokongan Persendirian
17.Aktiviti Persembahan, Perfileman, Karya Seni dan Grafik
18.Perkhidmatan Penjagaan, Perawatan dan Pemulihan Kesihatan
19.Perkhidmatan Isi Rumah

Sebelum ini, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 mulai 1 Jun 2017 yang memberi perlindungan kepada Orang Berinsurans Bekerja Sendiri (OBBS) di bawah SKSPS yang  dimulakan kepada pemandu teksi, e-hailing dan bas.

Melalui perluasan ini, kira-kira 2.8 juta individu yang bekerja sendiri boleh mencarum dengan SKSPS.

Orang Bekerja Sendiri (OBS) bertaraf warga negara atau pemastautin tetap Malaysia tanpa mengira had umur boleh mendaftar dan mencarum dengan Perkeso sekiranya menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri yang bertujuan mencari nafkah di dalam sektor-sektor terbabit.

Dengan caruman serendah RM157.20 setahun atau RM13.10 sebulan, OBS boleh mendaftar dan mencarum secara dalam talian (online) melalui https://matrix.perkeso.gov.my atau bayaran tunai di mana-mana pejabat Perkeso.

ayaran caruman adalah secara prabayar dan OBS akan mendapat perlindungan SKSPS sebaik sahaja caruman dibuat.

Di bawah SKSPS, pencarum akan mendapat manfaat faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, elaun layanan sentiasa, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, pendidikan serta kemudahan pemulihan jasmani, vokasional termasuk Program Kembali Bekerja. – MalaysiaGazette