Jacob George

KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam, Datuk Dr Jacob George sudah mengagak kerajaan akan menangguhkan pelaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP) di sebalik publisiti besar-besaran dan keghairahan ketika mengumumkan program tersebut Oktober lalu.

Katanya, dengan segala macam liputan, cakap besar, ‘song and dance’ malah peruntukan juga telah diumumkan dalam Belanjawan, tentulah sesuatu yang memalukan apabila program tersebut ditangguhkan.

“Jika inilah pengakhiran bagi setiap janji yang dibuat oleh PH ini, kita juga kini tertanya-tanya dengan kredibiliti serta keyakinan terhadap inisiatif, dasar, visi, misi serta perancangan dirangka oleh PH pada masa hadapan. Saya langsung hilang kata-kata.

“PSP ini terlampau besar dan sangat hebat diperkatakan oleh para menteri khasnya Menteri Kewangan dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dari awal lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Jacob merupakan antara pihak yang membantah pelaksanaan PSP kerana kerajaan tidak melakukan kajian secara mendalam selain tidak berbincang dengan pemain industri.

Beliau juga kesal kerana kerajaan yang diteraju oleh Pakatan Harapan kini sering membuat pusingan U dan meletakkan kesalahan di bahu kerajaan terdahulu setiap kali gagal melaksanakan janji.

Baca: Program Subsidi Petrol berita sedih untuk rakyat

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan kerajaan membuat keputusan untuk menangguhkan sahaja PSP sehingga diberitahu kelak

Kerajaan memperuntukkan RM 2.4 bilion bagi PSP dalam Belanjawan 2020 dengan jumlah penerima manfaat seramai lapan juta orang daripada kelompok B40 dan M40.

Pada 7 Oktober lalu, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PSP bermula Januari 2020 sesuai dengan manifesto PH.

Jelas Jacob lagi, cadangan program PSP ini nampak sangat retorik serta syok sendiri seolah-olah PH itu masih lagi menjadi pembangkang.

“Saya dari awal lagi sudah bantah dan menyoal PH adakah mereka benar-benar telah lakukan kajian mendalam tentang program ini, adakah mereka bercakap dengan pemain industri dan pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan melaksanakan program.

“Persoalan adakah mereka mempunyai mekanisme yang betul untuk lakukan ini terus berlegar, adakah kerajaan sudah mengkaji keberkesanan PSP ini atau sebaliknya sebelum sebarang pengumuman.

“Sewajarnya dalam isu-isu penting seperti subsidi petrol, kerajaan perlu melaksanakan kajian projek perintis untuk melihat rasional dan menangani lompong-lompong dan kelemahan serta penyalahgunaan sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

Program Subsidi Petrol ditangguhkan

Beliau mendakwa, PSP yang dibuat semata-mata untuk tujuan politik berbanding  memikirkan kesejahteraan rakyat.

“Apa yang saya katakan ini sudah jadi kebenaran kerana akhirnya mereka membuat keputusan untuk menangguhkan sahaja tanpa memberikan apa-apa alasan logik. Ini bukan sesuatu yang boleh dibuat dengan senang-senang, tutup mata.

“Apakah mesej yang cuba diberitahu oleh kerajaan kepada golongan B40 dan M40 yang menunggu pelaksanaan ini? Hanya kekecewaan dan kesedihan selain daripada ketidakpercayaan oleh para pengguna terhadap kerajaan khasnya KPDNHEP itu sendiri.

“Inilah impak yang cukup besar, ingatlah apabila rakyat Malaysia yang rata-ratanya adalah pengguna hilang rasa yakin serta hormat terhadap kerajaan sendiri termasuk menteri kepenggunaan.

“Kerana itu, kerajaan terdahulu sebenarnya akan sentiasa bekerjasama dengan pemain industri yang juga mempunyai pengalaman cukup luas sebelum mengumumkan apa-apa perancangan seperti ini, impaknya cukp besar jika gagal dilaksanakan.

“Sebaliknya anda simpan ‘kroni serta kaki bodek’ yang hanya mempunyai kepentingan sendiri bagi merealisasikan program seperti ini akhirnya gagal separuh jalan, malu sangat,” tegasnya.  – MalaysiaGazette

Subsidi petrol untuk 2.9 juta penerima BSH mulai Januari tahun depan

2 Komen

  1. Umum dah tahu dah kerajaan PH memangnya kerajaan pusingan U dan boleh dikatakan semua menteri2 nya banxxxx2 tak tahu untok membela rakyat. hanya bela perut sendiri sahaja. dah bosan dah. tak heran pon apa yang dia nak buat. menjual harta, tanggoh, melepaskan yang salah, membela yang tak betul jadi betul sahaja yang boleh seperti, melepaskan Rasuah, rasis, tanggoh kes2 rogol, kes Adip, kes semburit, kes dadah dan banyak lagi. ini lah kerajaan Malaysia baru yang diterajui oleh menteri yang tidak berkemampuan.

Comments are closed.