TERKINI : Siapa Kata Jawi Pupus?? Permintaan Masih Tinggi – Pengusaha

KUALA LUMPUR – Siapa sangka di tengah-tengah kota raya yang sedang membangun pesat, terdapat satu premis yang masih menawarkan perkhidmatan produk berasaskan tulisan Jawi.

Biarpun ada pihak yang menganggap bahawa tulisan Jawi bersamaan dengan tulisan Sanskrit yang telah ditelan zaman, namun siapa sangka kedai kecil di Jalan Brunei Off Jalan Pudu ini masih lagi berdiri teguh menyediakan perkhidmatan berasaskan kepada produk tulisan Jawi.

Lebih memeranjatkan apabila pemilik syarikat penerbitan U Need Trading, Ummi Fadila Elias mendedahkan permintaan terhadap produk tulisan Jawi tidak pernah putus ditempah oleh para pelanggannya. Antaranya tanda nama dan cop rasmi bertulisan Jawi. Malah katanya Sabah dan Sarawak menjadi negeri yang membuat permintaan kepada produk ini lebih tinggi daripada negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

“Kami selalu dalam permintaan daripada guru-guru untuk produk tulisan Jawi, pemintaan memang banyak untuk tanda nama dan cop tulisan Jawi. “Terutamanya dari pelanggan Sabah dan Sarawak, mereka akan datang ke kedai dan minta kami buat cop dan tanda nama dalam tulisan Jawi.

“Mereka sangat berkenan dengan tanda nama tulisan Jawi dan cop Jawi,” katanya kepada MalaysiaGazette.