Polemik pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular masih berterusan.

KUALA LUMPUR – Siapa sangka di tengah-tengah kota raya yang sedang membangun pesat, terdapat satu premis yang masih menawarkan perkhidmatan atur huruf  tulisan Jawi.

Biarpun ada pihak yang menganggap bahawa tulisan Jawi seperti tulisan Sanskrit yang telah ditelan zaman, namun kedai kecil di Jalan Brunei Off Jalan Pudu ini masih teguh beroperasi menyediakan perkhidmatan tersebut.

Lebih mengagumkan, pemilik syarikat penerbitan U Need Trading, Ummi Fadila Elias mendedahkan permintaan terhadap perkhidmatan atur huruf tulisan Jawi tidak pernah putus ditempah oleh para pelanggannya.

Antaranya tanda nama dan cop rasmi tulisan Jawi.

Pemilik U Need Trading & Supplies, Ummi Fadila Elias ketika ditembual mengenai pencetakan tulisan jawi yang disediakan di kedai pencetakan miliknya di Jalan Brunei, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 30 DISEMBER 2019.

Malah katanya, Sabah dan Sarawak menjadi negeri yang banyak membuat permintaan berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

“Kami selalu dapat permintaan daripada guru-guru untuk atur huruf tulisan Jawi, permintaan memang banyak untuk tanda nama dan cop tulisan Jawi.

“Terutamanya dari pelanggan Sabah dan Sarawak, mereka akan datang ke kedai dan minta kami buat cop dan tanda nama dalam tulisan Jawi.

“Mereka sangat berkenan dengan tanda nama tulisan Jawi dan cop Jawi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, ketika dahulu banyak eniaga Melayu mempelopori perniagaan tulisan Jawi di Jalan Brunei ini.

Peniaga berketurunan Cina juga tidak melepaskan peluang  menawarkan perkhidmatan atur huruf tulisan Jawi kepada orang ramai ketika itu.

“Setakat yang saya tahu, apabila orang Melayu datang ke Jalan Brunei, baru wujud perniagaan percetakan Jawi.

“Ada (peniaga Cina juga) tapi mengikut permintaan pelanggan, kalau pelanggan mahu percetakan Jawi, maka baru mereka akan cetak,” katanya lagi.

Perkataan U Need Trading & Supplies dalam tulisan jawi di Jalan Brunei, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 30 DISEMBER 2019.

Ummi berkata, musim cuti sekolah adalah waktu paling sibuk buat perniagaannya.

Tambah beliau lagi, permintaan ke atas atur huruf tulisan Jawi naik sekali ganda ketika itu berbanding waktu-waktu biasa.

“Kalau waktu lain, permintaan kurang,” katanya lagi.

Perkataan Syarikat Wilayah Kredit Sdn Bhd yang ditulis menggunakan tulisan jawi pada Bangunan Syarikat Wilayah Kredit Sdn Bhd di Jalan Brunei, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 30 DISEMBER 2019.

Jalan Brunei di Jalan Pudu yang dahulunya popular dengan kedai-kedai percetakan dan penerbitan kini sudah tidak lagi memaparkan tulisan Jawi pada papan tanda di kedai-kedai.

Cuma ada satu kedai milik peniaga Melayu dan satu bangunan milik peniaga Cina sahaja yang masih mengekalkan tulisan Jawi di premis mereka.

Antaranya, bangunan Warisan Kredit Sendirian Berhad yang tertera tulisan Jawi di hadapan bangunannya dan Syarikat U Need Trading.

Yang lain hanya memaparkan tulisan bahasa Melayu, Inggeris mahupun Mandarin. – MalaysiaGazette