KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan memutuskan untuk melewatkan lapan minit waktu solat Subuh bagi Melaka dan Johor mulai esok.
Keputusan itu dibuat berikutan berlaku pertukaran darjah paksi ketinggian matahari yang melibatkan beberapa negeri termasuk Johor dan Selangor.
Menurut Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil, perubahan itu telah diputuskan oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) kali ke-116 pada akhir bulan lalu.
“Perubahan waktu Subuh di Melaka ini juga akan dilakukan serentak dengan Johor, manakala Selangor melaksanakannya bulan lalu.
“Mesyuarat itu membincangkan hukum mengenai parameter ketinggian matahari di bawah ufuk bagi penentuan awal waktu solat Subuh.
“Jawatankuasa ini bersetuju permulaan waktu solat Subuh di Malaysia menggunakan pada bacaan ketinggian iaitu pada bacaan 18 darjah di bawah ufuk.
“Perubahan ini menyebabkan waktu solat Subuh ditambah kepada lapan minit dan sebelum ini bacaan sebenar adalah pada 20 darjah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Menurut Abdul Halim, perubahan itu dilakukan berdasarkan hasil kajian pakar berhubung kecerahan langit waktu Subuh yang ditukar kepada 18 darjah dan setiap darjah membabitkan perubahan masa selama empat minit.
Dengan itu, katanya, sebanyak dua darjah itu menjadikan perubahannya selama lapan minit.
Pada 29 November lalu, Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan MKI ke-116 memutuskan perubahan waktu solat Subuh yang perlu dilewatkan lapan minit membabitkan seluruh negara.
Selangor negeri pertama melaksanakan kaedah berkenaan, diikuti Melaka dan Johor.
Kata Abdul Halim, muzakarah juga bersetuju pelaksanaan solat Subuh sebelum ini menggunakan ketinggian 20 darjah matahari tetap dikira sah kerana keputusan itu dikenali sebagai ‘Ijtihadiyyah’ yang bergantung kepada perkara yang diutuskan oleh Uli Al-Amri iaitu sebagai pemerintah.
Sehubungan itu, beliau menasihati umat Islam di Melaka supaya peka dengan perubahan waktu berkenaan.
“Arahan ini akan berkuat kuasa 1 Januari 2020 dan berharap umat Islam di negeri ini patuh kepada waktu Subuh yang baharu ini,” katanya. – MalaysiaGazette
















