Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berucap pada hari pertama sesi persekolahan bagi sesi 2020 di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik enggan menjawab isu-isu panas yang diajukan oleh media kepadanya kecuali kenyataan medianya.

Beberapa soalan yang dikemukakan wartawan tidak diendahkan beliau.

Sebaliknya, Maszlee hanya menjawab secara ringkas satu perkara berkaitan tulisan Jawi yang kini menjadi isu hangat  diperbincangkan oleh khalayak.

“Diperingkat KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) tidak timbul isu tersebut,” ujarnya ringkas.

Maszlee hari ini diasak beberapa kali  dengan soalan  papan tanda iklan yang memaparkan gambarnya hingga mendapat teguran Penasihat Media Perdana menteri, Datuk A. Kadir Jasin.

Perkara lain yang turut ingin ditanya media adalah isu kulit buku karya Sasterawan Negara Usman Awang yang memaparkan gambar pegawainya hingga menimbulkan kontroversi.

Malah, media juga mahu mendapatkan kenyataan Maszlee berhubung Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) yang masih lagi berusaha untuk membantah pengajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular dan mahu menghantar kenyataan bersama di pejabat KPM di Putrajaya petang ini.

Sebelum ini, Kabinet mengekalkan keputusan untuk meneruskan pembelajaran tulisan Jawi dalam subjek bahasa Melayu kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular mulai tahun ini dengan pengajaran hanya melibatkan tiga muka surat.

Bagaimanapun, perkara itu perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta ibu bapa terlebih dahulu.

Keputusan itu dimuktamadkan selepas Kabinet sekali lagi membincangkan mengenai perkara berkenaan pada 14 Ogos lalu.

Sehingga kini beberapa pihak termasuk NGO Melayu Islam dan mahasiswa mendesak kerajaan agar teguh kepada pendirian mengekalkan pengajaran tulisan Jawi berkenaan. – MalaysiaGazette