Paul Pogba.

LONDON – Malang berganda menimpa Manchester United apabila bintang sensasinya, Paul Pogba akan menjalani pembedahan bagi kecederaan buku lali yang berulang selepas pasukan itu dikalahkan 0-2 kepada Arsenal awal pagi tadi.

Pogba sebelum ini membuat penampilan semula selepas hampir tiga bulan berehat pada perlawanan yang menyaksikan kekalahan 2-0 kepada Watford, 10 hari lalu.

Pemain antarabangsa Perancis itu berada di bangku simpanan ketika menewaskan Newcastle 4-1 pada empat hari kemudian.

Pengendali United, Ole Gunner Solskjaer mengesahkan pembedahan itu dan Pogba dijangka bakal berehat sebulan lagi

“Kecederaannya sudah dikenalpasti dan ditangani. Dia kini dinasihatkan untuk melakukannya secepat mungkin,” kata Solskjaer.

Pogba hanya memulakan enam perlawanan dalam semua kejohanan bagi United pada musim ini dan kehadirannya di posisi tengah sangat dirindui dengan United kini di kedudukan lima Liga Perdana.

Ketiadaannya memburukkan lagi situasi buat Solskjaer apabila Scott McTominay juga diketepikan selama dua bulan, menyebabkan kurang pilihan di bahagian tengah. – MalaysiaGazette