Sukhdave Singh

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Dr Sukhdave Singh dilaporkan telah melepaskan jawatannya dalam Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) selepas 17 bulan bersama sayap pelaburan itu.

Theedgemarkets yang memetik sumber melaporkan, sebab peletakan jawatan itu tidak diketahui.

Sukhdave dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah Khazanah pada Julai tahun lalu.

Sementara itu, media itu turut melaporkan pelantikan Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen – pengerusi Bursa Malaysia Bhd, yang juga pengarah bebas Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan – sebagai Ahli Lembaga Khazanah telah ditunda buat masa ini.

TheEdge sebelum ini melaporkan bahawa Shireen – juga pengasas dan pengurus dana utama Corston-Smith Asset Management Sdn Bhd – akan menyertai Lembaga Pengarah Khazanah, yang pada masa itu mempunyai sembilan ahli lembaga termasuk Pengerusi Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Dr Mahathir, Lembaga Pengarah Khazanah terdiri daripada Menteri Urusan Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan; bekas Presiden Petroliam Nasional Bhd, Tan Sri Mohd Hassan Marican; Goh Ching Yin; Ketua Penasihat Jabatan Peguam Negara To ‘Puan Azian Mohd Aziz; Pengasas SenseTime (syarikat kecerdasan buatan China yang terkemuka) Xiao’ou Tang dan Naib Presiden Eksekutif Kanan Tencent Holdings Company, Lau Seng Yee dan Sukhdave. – MalaysiaGazette