HONG KONG – Harga minyak melonjak lebih daripada 4% selepas berita serangan udara Amerika Syarikat di Lapangan Terbang Antarabangsa Baghdad hingga mengorbankan Jeneral Qasem Soleimani, individu kedua berkuasa di Iran.

Serangan itu dilaporkan berlaku pada awal hari Jumaat, menurut Hashed al-Shaabi, sebuah pasukan paramiliter yang kuat di Irak yang dikaitkan dengan Teheran.

Tidak lama kemudian selepas serangan itu, Presiden Donald Trump mengaku mengarahkan pembunuhan Soleimani.

Harga Brent naik 4.4% kepada AS$69.16 setong dan West Texas Intermediate naik 4.3% kepada AS$63.84 setong selepas para pelabur bimbang terhadap bekalan bahan bakar itu.

Kedua-dua harga kontrak kemudian menyusut tetapi masih berada pada kedudukan tinggi.

“Insiden ini memberi kesan teruk kepada Iran. Ia adalah sati tindakan agresif dan provokasi yang boleh mencetuskan perang Timur Tengah” kata Stephen Innes dari AxiTrader.

Harga minyak naik pada bulan September lalu selepas dua kemudahan loji penapisan minyak Arab Saudi diserang hingga menyebabkan bekalan minyak oleh pengeluar terbesar dunia itu berkurangan kepada separuh.

Serangan membabitkan pegawai tertinggi Iran ini berlaku ketika ketegangan hubungan antara Amerika Syarikat dan Korea Utara semakin buruk. – MalaysiaGazette