Menteri Pendidikan, Maszlee Malik meninjau hari pertama sesi persekolahan bagi sesi 2020 di Sekolah Kebangsaan Setiawangsa, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 02 JANUARI 2020

SEMUA pihak terkejut dengan berita peletakan jawatan Dr. Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan secara mendadak semalam.

Melihat raut wajah air muka dan kenyataannya pada sidang media itu, jelas Dr. Maszlee kelihatan kecewa dan menyebut memulangkan balik jawatan kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad), di samping menghuraikan kejayaannya sebagai Menteri Pendidikan selama 20 bulan.

Dengan telahan dari sidang medianya itu juga, jelas beliau di“nasihat paksa” meletakkan jawatan, mungkin atas isu pengajaran tulisan khat Jawi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC / SJKT).

Umum tahu isu itu menjadi kontroversi akibat tentangan dari beberapa pihak iaitu pertubuhan Cina bernama Dong Zong, parti politik DAP, MCA dan kerabat Pakatan Harapan (PH).

Walaupun telahan ini tidak dapat dipastikan, namun apabila angin bertiup, sudah pasti pokok akan bergoyang. Mesti ada sebab-sebabnya.

Apakah Kabinet telah membatal keputusan Kementerian Pendidikan mengenai pengajaran khat Jawi, tidaklah dapat dipastikan.

Ibrahim Ali

Apa pun Dr. Maszlee telah menjadi korban dan kalau ianya ada kena mengena dengan isu pengajaran khat Jawi sekali pun, nama Dr. Maszlee terpahat dalam hati setiap orang Melayu dan jawapan tepatnya pasti pada PRU ke-15 akan datang.

Ini hanya sekadar andaian saya, kerana khat Jawi sudah menjadi isu jihad orang Melayu disebabkan tulisan Jawi adalah sebahagian dari bahasa Kebangsaan dan terikat dengan Fasal 152 Perlembagaan Persekutuan.

Oleh kerana jawatan Menteri Pendidikan kosong, maka wajarlah ianya dipegang sendiri oleh Tun Dr. Mahathir yang juga Perdana Menteri.

Pendidikan adalah kementerian strategik dan agenda pendidikan adalah agenda nasional terpenting yang akan membawa hala tuju generasi muda dalam arus dunia globalisasi tanpa sempadan dan dunia digital yang amat mencabar, dan pada masa sama mengekalkan identiti bangsa berteraskan asas Perlembagaan  Negara serta Dasar Pendidikan Nasional.

Selepas PRU14, sememangnya Tun Dr. Mahathir menamakan dirinya sebagai Menteri Pendidikan, tetapi menarik balik kerana janji Perdana Menteri tidak akan memegang mana-mana portfolio.

Namun, ini tidak seharusnya menjadi sebab demi kepentingan pendidikan, yang mana sebelum Tun Dr. Mahathir berundur sebagai Perdana Menteri tidak lama lagi, amat wajar belilau memantapkan hala tuju Pendidikan Negara.

Atau formula terbaik, sekali gus untuk meredakan kontroversi peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri, elok Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dipindahkan ke Kementerian Pendidikan.

Apabila jawatan nombor dua negara kosong, Tun Dr. Mahathir boleh melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, yang bakal mengambil alih jawatan Perdana Menteri bila tiba masanya tidak lama lagi.

Ini akan bagi membolehkan Anwar membiasakan diri dan menghayati sebagai penganti Perdana Menteri terutama dasar-dasar yang memerlukan kepada kesinambungan.

Cadangan ini merupakan pandangan berteraskan akademik semata-mata dan perkembangan politik semasa.

Bila tiba PRU15, lain ceritanya kerana rakyat akan membuat keputusan baharu parti mana yang mendapat mandat majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Suami isteri dalam satu kabinet bukan perkara baru, kerana Allahyarham Tan Sri Kadir Yusof dan Allahyarhamah Tan Sri Fatimah Hashim merupakan suami isteri yang pernah menjadi menteri dalam satu kabinet satu ketika dahulu.

Apapun, politik negara memasuki awal tahun baharu 2020 ini membuka tirai dengan bertambah celaru apabila dilihat rintihan sidang media Dr. Maszlee.

Apapun, ini adalah sekadar pandangan atau reaksi saya apabila ada wartawan menghubungi minta respon kepada peletakan jawatan Dr. Maszlee sebagai Menteri Pendidikan. – MalaysiaGazette

**Penulis, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali adalah Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).