, Anthony Loke

SANDAKAN – Kerja-kerja pembinaan Projek Pembesaran Lapangan Terbang Sandakan yang bernilai RM80.9 juta telah pun bermula pada 25 November lalu dan dijangka siap pada 25 Mei 2021.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek itu akan mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan dengan sempurna.

Menurutnya, Projek pembesaran ini merupakan kesinambungan kepada Projek Menaiktaraf Bangunan Terminal Lapangan Terbang Sandakan yang dilaksanakan pada tahun 2014 – 2016.

Projek pembesaran ini akan melibatkan kerja-kerja pemanjangan landasan, pelebaran kawasan pakir pesawat, pembinaan connecting taxiway baharu dan lain-lain kerja yang berkaitan.

Beliau berkata, landasan yang sedia ada sepanjang 2,133 meter hanya dapat menampung operasi pesawat kategori 4C seperti Boeing 737-800 (B738)/ Airbus 320 (A320) dengan muatan terhad atau kekangan muatan.

Dengan adanya landasan baru yang lebih panjang iaitu 2,500m, pesawat-pesawat komersial dapat beroperasi di Lapangan Terbang Sandakan dengan muatan penuh tanpa kekangan.

Katanya, apabila projek ini siap kelak, ia mampu menampung operasi pesawat kategori 4C ke destinasi lebih jauh dengan tempoh perjalanan sekitar 3 hingga 6 jam, sekali gus membuka peluang kepada lebih banyak pilihan penerbangan terus dari luar negara ke Sandakan.

Ia secara tidak langsung merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sandakan dalam sektor pelancongan.

“Saya yakin dan percaya Kerajaan Negeri Sabah akan bekerjasama rapat dengan pengusaha industri pelancongan serta syarikat penerbangan bagi membolehkan pertambahan operasi penerbangan terus dari Sandakan sama ada ke China, Korea, Jepun, India atau lain-lain destinasi luar negara.

“Hal ini adalah selari dengan matlamat Dasar Pengangkutan Negara (DPN) 2019 – 2030 untuk membangunkan sektor pengangkutan mampan yang memacu pertumbuhan ekonomi dan menyokong kesejahteraan rakyat seiring dengan status negara maju,” kata Loke ketika berucap pada majlis pecah tanah projek pembesaran lapangan terbang Sandakan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, bilangan pergerakan penumpang dan pergerakan pesawat di ketiga-tiga lapangan terbang utama di Sabah pada tahun lalu telah mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan.

Untuk ketiga-tiga lapangan terbang utama di Sabah, kadar pertumbuhan dari tahun 2015 ke 2019 secara purata adalah antara 5% ke 9%.

Untuk Kota Kinabalu, lapangan terbang antarabangsa yang menduduki tangga kedua selepas KLIA, bilangan penumpang mencecah 9 juta untuk tahun 2019.

Anggaran bilangan penumpang Lapangan Terbang Tawau pada 2019 adalah 1.8 juta orang bersamaan pertumbuhan sebanyak 10%.

Manakala, Lapangan Terbang Sandakan telah merekodkan sejumlah 1.08 juta penumpang pada tahun lalu iaitu pertambahan sebanyak 14% berbanding dengan tahun 2018, meskipun dalam keadaan kekangan dan had keupayaan.

Loke berkata, selain daripada projek ini, Kementerian Pengangkutan melalui Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang melaksanakan Penggantian Dan Penambahbaikan Sistem Pengurusan Trafik Udara Di Kota Kinabalu Flight Information Region (merangkumi Sabah dan Sarawak).

“Kos keseluruhan projek ini adalah berjumlah RM183 juta yang mana salah satu skop utama projek adalah pemasangan radar baharu di Sandakan.

“Pelaksanaan projek ini secara keseluruhannya akan meningkatkan kapasiti pengurusan trafik udara Sabah dan Sarawak yang juga akan berfungsi sebagai pelengkap kepada projek pembesaran lapangan terbang ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette