Imigresen - Gambar hiasan
KANGAR – Biarpun telah diberikan peluang untuk pulang secara sukerela di bawah program Back For Good (B4G), seramai 24 pekerja warga asing dikesan masih berdegil dan menjadikan rumah kongsi di tapak pembinaan di sekitar negeri ini sebagai tempat perlindungan mereka.

Pengarah Imigresen Negeri, Basri Othman berkata, kesemua mereka yang berumur 19 hingga 50 tahun itu terdiri daripada 13 warga Bangladesh, sembilan orang warga Indonesia dan dua warga Myanmar, ditahan dalam operasi bersepadu yang diadakan pada Rabu lepas.

“Dalam operasi yang bermula pada ambang 2020 dan berakhir 5 pagi itu, Jabatan Imigresen Perlis telah menjalankan pemeriksaan terhadap 174 warga asing di beberapa lokasi tapak binaan berskala besar di Arau dan Kangar, hasilnya 24 daripada mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah.

“Siasatan awal mendapati sikap pihak majikan yang masih mahu menawarkan pekerjaan walaupun tahu tentang status pekerja mereka menjadi punca pekerja warga asing ini enggan pulang ke negara masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jabatan Imigresen, katanya memandang serius terhadap perkara ini dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba melanggar dan menyalahi undang-undang.

“Kita harap orang awam yang mempunyai maklumat tentang pendatang asing tanpa izin agar dapat menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Katanya kesemua yang ditahan kini direman selama 14 hari di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) di Depot Tahanan Imigresen Kangar untuk siasatan lanjut. – Bernama