Azhar Azizan Harun

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis disasarkan akan menerima 70 peratus pengundi yang keluar mengundi.

Demikian menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang media selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK kesepuluh selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14), pada 2018 lalu.

“SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi untuk PRK ini adalah lebih kurang 70 peratus.

“SPR berharap kepada pengundi dapat keluar mengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka,” katanya.

Tambah Azhar Azizan, bagi PRK ini, SPR telah melantik 80 orang pemerhati pilihan raya daripada 14 buah organisasi (agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta individu yang berkelayakan untuk memantau penjalanan proses pilihan raya ini.

Dijangkakan Keputusan PRK ini akan diumumkan sebelum jam 10.00 malam.

Daripada segi kempen, Azhar berkata, calon dibenarkan untuk mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang parti dan gambar pemimpin parti yang diwakilinya.

“Ini termasuklah lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti komponen yang berdaftar secara rasmi.

“Apa-apa bahan kempen yang boleh digunakan seperti iklan, surat sebaran, pelekat dan poster hendaklah mengandungi nama dan alamat pencetak dan penerbitnya kecuali bendera, poster simbol parti dan gambar pemimpin parti atau calon yang bertanding,” jelas Azhar Azizan lagi

Untuk rekod, PRK Parlimen Kimanis menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara antara Barisan Nasional dan Warisan.

BN cuba mempertahankan kerusi yang dimenangi selama tiga  penggal sejak 2004 dengan mempertaruhkan Datuk Mohamad Alamin, yang akan dicabar calon Warisan, Datuk Karim Bujang.

PRK kesepuluh selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) diadakan berikutan Mahkamah Persekutuan pada 1 Disember tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu dengan membatalkan kemenangan Datuk Seri Anifah Aman.

Keputusan itu menetapkan kemenangan Anifah adalah tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.

Anifah memenangi kerusi Parlimen tersebut dengan majoriti tipis 156 undi sekaligus menewaskan pencabarnya Karim Bujang daripada parti Warisan dan Jaafar Ismail daripada parti Harapan Rakyat Sabah.

Terdapat 29,644 pengundi di Kimanis, yang terdiri daripada 52 peratus Bumiputera Islam, 41 peratus Bumiputera bukan Islam dan 6 peratus Cina. -MalaysiaGazette