KOTA BHARU – Bekas pemain pasukan Kelantan yang mempunyai tunggakan gaji bersama dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan dihubungi bagi membincangkan kaedah pembayaran hutang itu kepada mereka, minggu hadapan.

Pengarah Urusan Team Red Warriors Sdn Bhd (TRW), Datuk Wan Rakemi Wan Zahari berkata, pertemuan itu penting bagi mendapatkan keadah terbaik untuk kedua-dua pihak bagi menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain.

“Kami (TRW) tidak mampu untuk membayar tunggakan itu sekali gus berikutan kantung kewangan tidak baik ketika ini.

“Pihak kami telahpun membuat pertemuan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membincangkan isu itu dan susulan itu kami perlu panggil pemain terlibat untuk berunding bagi mendapatkan satu keputusan melangsaikan hutang mereka,” katanya kepada pemberita selepas Upacara Menandatangani Perjanjian Rakan Strategik melibatkan dua syarikat, di sini hari ini.

Dua syarikat itu ialah Nexy Ventures Sdn Bhd yang diwakili Pengarah Urusannya, Wan Mohd Hafiz Othman dan Syarikat Matek Maju Resource yang diwakili Pengurusnya, Muhammad Syawal Mahmood. Turut hadir Presiden KAFA Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Team Red Warriors Sdn Bhd merupakan syarikat yang ditubuhkan bagi menguruskan pasukan Kelantan musim ini.

Wan Rakemi berkata, dalam keadaan ekonomi yang tidak baik ketika ini, pihaknya berharap semua pemain terlibat bersabar dengan memberikan ruang kepada pihaknya untuk memulihkan kewangan TRW Sdn Bhd dan KAFA.

“Sehingga kini pihak kami juga masih belum mempunyai penaja utama bagi membantu pengurusan pasukan Kelantan musim ini.

“Kami tidak meletakkan apa-apa syarat jumlah penajaan tertentu kepada mana-mana pihak yang sudi bekerjasama,” katanya.

Katanya, dalam keadaan bebanan hutang sekarang ini TRW Sdn Bhd perlu mempunyai perancangan terperinci memandangkan pihaknya masih belum mempunyai penaja utama.

“Kami boleh berunding dengan mana-mana pihak yang berminat untuk menjadi rakan penaja, kami tiada jumlah ditetap sebagai syarat dan apa yang penting perancangan sekarang untuk persiapkan pasukan,” katanya. – Bernama