Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSK) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed bercakap pada sidang media diiringi Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), SAC Mior Faridalathrash Wahid (kiri) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Polis dan Peguam Negara (AG), Tan Sri Tommy Thomas akan membuat kenyataan bersama mengenai hasil analisis video semburit yang mengaitkan seorang menteri Kabinet.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Huzir Mohamed, laporan analisis pakar penganalisis video di Amerika Syarikat telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara pada akhir tahun lalu untuk rujukan Tommy.

“Ada media ada kenyataan katakan kita polis sepatutnya kenal pasti dan laporan patut diterima sekarang, memang betul kita telah terima laporan analisa (video intim) itu akhir tahun lalu dan kertas siasatan telah dikemukakan kepada pihak Peguam Negara.

“Pihak Peguam Negara akan membuat kenyataan media dalam masa terdekat. Bukan semestinya saya buat pengumuman tentang laporan itu.

“Tunggu, PDRM dan Pejabat Peguam Negara akan buat kenyataan media dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang media Pencapaian PDRM 2019 dan sasaran 2020 di Bukit Aman hari ini.

Sementara itu, Huzir berkata, Unit Jenayah Terkelas Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) JSJ Bukit Aman telah mengadakan perjumpaan pada petang hari ini untuk membincangkan tiga kes berprofil tinggi.

Menurutnya, tiga kes berkenaan ialah kes video intim lelaki dalam video yang dikaitkan dengan seorang menteri Kabinet, laporan analisis ujian Poligraf Mohammad Yusof Rawther dan kes akuan bersumpah (SD) bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri.

“Kes tersebut (Yusoff Rawther) dan kes SD Azilah, pegawai polis dari Unit Jenayah Terkelas D5 berjumpa petang ini dengan peguam negara membincangkan ketiga-tiga kes tersebut.

“Kita sedang bincang ketiga tiga kes petang ini dan tunggulah, kita tengok apa arahan selanjutnya daripada pihak Peguam negara,”katanya. – MalaysiaGazette