Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan spekulasi dirinya menjadi Menteri Pendidikan.

“Tidak betul, banyak kerja mahu dibuat di Kedah,” katanya dalam satu sidang media yang dimuatnaik dalam Youtube bertajuk Mukhriz Tolak Kemungkinan Ganti Maszlee di Kementerian Pendidikan.

Malah anak Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tidak tahu namanya menjadi tular dalam spekulasi kononnya bakal menggantikan Dr. Maszlee Malik di media sosial.

“Saya tidak tahu jadi saya tidak pernah tanya. Dia (ayahnya) sendiri tidak cakap apa-apa mengenainya,” kata Mukhriz yang mengakui ada berjumpa dengan PM sehari sebelum Maszlee meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, ia terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri sendiri.

Menurutnya, pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia pun tidak menyediakan sebarang senarai calon untuk menggantikan Mazslee.

“Dia (PM) akan menilainya sendiri dan membuat keputusan. MPT bersedia menerima siapa sahaja yang dipilih,” katanya.- MalaysiaGazette