Dzulkifli Abdul Razak menunjukkan Anugerah Cemerlang Industri Pendidikan Al-Khwarizmi yang diterima UIAM pada Malam Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2019M.

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM) menerima Anugerah Cemerlang Industri Pendidikan Al-Khwarizmi dan dua anugerah individu pada Malam Anugerah Kecemerlangan Islam 1441H/2019M anjuran Majlis Dakwah Negara (MDN) dengan kerjasama Persatuan Usahawan ASEAN Malaysia (MAAYE), semalam.

Anugerah Cemerlang Industri Pendidikan Al-Khwarizmi diberikan kepada institusi pendidikan yang cemerlang dalam pembangunan pendidikan serta institusi pendidikan yang menggunakan  teknologi untuk memartabat dan memperkukuhkan dunia pendidikan Islam di peringkat antarabangsa.

Rektor UIAM, Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak hadir menerima anugerah tersebut yang disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Sultan Azlan Muhibbuddin Shah

Dzulkifli berkata, kejayaan ini adalah permulaan kecemerlangan untuk Tahun 2020, hasil kerjasama kesemua warga UIAM.

“Anugerah ini menjadi pembakar semangat warga UIAM bagi tahun baharu 2020 ini untuk kami memacu kecemerlangan dan bekerjasama menjadikan universiti ini sentiasa mendahului pelbagai bidang, selari dengan motto universiti Leading The Way,” katanya.

Selain anugerah itu, UIAM juga turut menerima anugerah individu iaitu Anugerah Tokoh Ulama Al-Ghazali (Al-Ghazali Scholar of the Year) yang diterima oleh Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd Kamal Hassan dan Anugerah Tokoh Cendekiawan Ibn Ishaq Al-Kindi yang diterima oleh Shaikh al-Kulliyyah, International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC-UIAM), Prof. Datuk Dr. Osman Bakar.

Pada majlis itu sebanyak 16 Anugerah disampaikan kepada para penerima. – MalaysiaGazette